AirAsia telah diiktiraf sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-10 berturut-turut melalui Anugerah Skytrax Penerbangan Dunia 2018, yang berlangsung di The Langham, London, semalam.

PENGASAS Bersama AirAsia, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pihaknya berbesar hati meraikan kejayaan sedekad itu dengan Allstars yang telah bersama-sama sejak dari awal.

“Perasaan ini tidak dapat digambarkan. Saya masih tidak dapat melupakan perasaan sewaktu kami dinamakan sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia buat pertama kali 10 tahun lalu dan saya tidak menyangka bahawa kami akan mengekalkan anugerah ini selama satu dekad.

“Terima kasih kerana sokongan luar biasa ini dan kami akan terus memperjuangkan tambang rendah dan berharap dapat mengubah lebih banyak kehidupan tetamu kami,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dikenali sebagai “Anugerah Oscar bagi Industri Penerbangan”, Anugerah Skytrax adalah penanda aras kecemerlangan global syarikat penerbangan dengan lebih 20.36 juta tinjauan pelanggan yang dilakukan di lebih 105 negara, mengukur piawaian merentas 49 petunjuk prestasi utama produk dan barisan depan khidmat pelanggan bagi syarikat penerbangan.

Sebagai sebahagian daripada sambutan meraikan kejayaan itu, AirAsia akan menawarkan tambang rendah bermula 23 hingga 29 Julai 2018 di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia.

Pelanggan berpeluang untuk memenangi penerbangan percuma selama satu tahun dengan menyertai peraduan #WeAreAllChampions di laman media sosial AirAsia.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini