BDB Land Sdn Bhd (BDB Land), anak syarikat Bina Darulaman Berhad (BDB), pemaju hartanah yang berpangkalan di Kedah, melancarkan kempen Badaboom “Beli Rumah Idaman Dan Bawa Pulang Kereta Baru” di majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Sg Petani, Kedah.
BDB Land menerusi kempen Badaboom memberi peluang kepada para pembeli rumah untuk memenangi sebuah kereta apabila membeli rumah idaman mereka dari mana-mana perbandaran BDB sepanjang tahun 2018.
Kempen ini bertujuan memberi insentif yang unik kepada pembeli rumah berbanding rebat dan diskaun istimewa yang biasa. Kempen terbaru ini sebaliknya memberi mereka peluang untuk mendapat ganjaran yang lebih daripada pelaburan dengan menawarkan hadiah-hadiah menarik dan “Duit Raya” atau rebat tunai bernilai lebih RM1 juta.

Kempen “Beli Rumah Idaman Dan Bawa Pulang Kereta Baru” atau “Kempen Badaboom” menandakan kemeriahan di sebalik konsep kempen. Kempen ini menawarkan para pembeli rumah peluang untuk memenangi tiga (3) buah kereta Perodua menerusi tiga (3) cabutan bertuah yang berasingan dibahagikan kepada tiga (3) segmen sepanjang 2018.
Cabutan pertama dijadualkan pada 14 Julai 2018 untuk sebuah Perodua Bezza bernilai RM50,000 bagi pembelian yang dibuat antara 1 Januari 2018 dan 30 Jun 2018.
Cabutan kedua pula dijadualkan pada 13 Oktober 2018 bagi sebuah Perodua MyVi bernilai RM55,000 untuk pembelian yang dibuat antara 1 Januari 2018 dan 30 September 2018 manakala cabutan terakhir akan diadakan pada 14 Januari 2019 bagi sebuah Perodua Alza bernilai RM63,000 untuk pembelian antara 1 Januari 2018 dan 31 Disember 2018.
Untuk berpeluang memenangi sebuah kereta, para pembeli perlu membeli sebuah unit di perbandaran BDB Land, membayar yuran tempahan, melengkapkan slogan dan memastikan tempahan menjadi pembelian sebenar dalam masa dua (2) bulan selepas tarikh tempahan.
Bercakap di majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh syarikat, Iskandar Dzulkarnain, Ketua Bahagian Hartanah, BDB Land berkata: “Kami komited untuk membina rumah dan menggalakkan kehidupan yang bermutu untuk semua, terutamanya bagi masyarakat di Kedah dan juga tempat-tempat lain sekiranya ada peluang.
Dalam usaha kami untuk memenuhi permintaan pembeli, kami juga mahu membalas sokongan yang diberikan. Kempen Badaboom ini merupakan pendekatan unik yang kami laksanakan.
BDB Land turut memperkenalkan Amethyst, projek pembangunan terbaru mereka di Perbandaran Darulaman Perdana di Sg Petani. Amethyst merupakan projek perumahan mampu milik yang dikenali sebagai Rumah Makmur Kedah (RMK) yang terdiri daripada 122 unit Rumah Teres Satu Tingkat.
Amethyst dibangunkan di kawasan seluas 14 ekar di Darulaman Perdana. Unit-unit dijangka dijual pada harga RM199,000 sebuah.