Perodua telah menganjurkan program keselamatan jalan raya selama sebulan untuk 8,000 kakitangannya, yang mana hampir 7,000 akan pulang ke kampung halaman masing-masing di musim perayaan ini.
INISIATIF selama sebulan ini adalah sebagai peringatan kepada para pengguna jalan raya mengenai peraturan asas serta tip keselamatan berguna yang mampu menjimatkan masa dan wang ketika dalam perjalanan pulang untuk bertemu keluarga tersayang.
“Perjalanan pulang semasa musim perayaan adalah lebih mencabar kerana terdapat banyak kenderaan di atas jalan raya. Pada ketika itu, adalah penting untuk kita terus bertenang, berwaspada dan berhemah ketika memandu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.
Program keselamatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kempen Keselamatan Jalan Raya Perodua yang dilancarkan pada Oktober 2017, sebuah projek selama 5 tahun bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai kepentingan peraturan asas jalanraya bagi mengelakkan sebarang kemalangan berlaku.
Intipati utama program ini adalah untuk menggalakkan penggunaan tali pinggang keledar, menggunakan isyarat membelok, penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dan tidak menggunakan telefon mudah alih ketika memandu.
“Kami percaya pendidikan harus bermula daripada rumah dan oleh sebab itu Kempen Keselamatan Jalan Raya Perodua lebih menumpukan kepada mendidik masyarakat kita tentang pentingnya peralatan keselamatan di kenderaan mereka serta memupuk amalan memandu secara selamat dan berhemah.
“Kami percaya melalui contoh yang diteladani dan kami berharap semua pemandu Malaysia juga dapat menerima dan menyambutbaik seruan kami dalam menjadikan Malaysia jalan raya paling selamat di rantau ini,” kata Datuk (Dr) Aminar.
Program keselamatan dalaman Perodua bermula sebulan yang lalu dengan penganjuran kursus selama dua hari oleh Persatuan Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Malaysia pada 15hb dan 16hb Mei. Seramai 69 pekerja telah didedahkan dengan pelbagai topik keselamatan termasuk punca utama kemalangan dan prosedur pra-pemeriksaan kenderaan yang betul.
Selain itu, dalam memastikan motosikal milik kakitangan berada dalam keadaan baik sebelum cuti Raya, pemeriksaan percuma telah dilakukan pada 6hb Jun. Sebanyak 47 buah motosikal telah diperiksa yang mana pemilik akan dimaklumkan mengenai sebarang kerosakan sekiranya ada dan diminta untuk memperbaikinya dengan kadar segera.
Perodua juga turut menjalankan perkhidmatan 50-titik pemeriksaan kereta secara percuma melalui Tweckbot Pre-Raya. Melalui aktiviti ini, Perodua berjaya memeriksa 380 kenderaan Perodua secara keseluruhan di dua lokasi iaitu di Tesco Kota Bharu di stesen Petronas di Kota Kinabalu dari 12-14 Mei.
Tweckbot akan berada di Petronas Sungai Buloh PLUS R&R pada 23 dan 24 Jun untuk pemeriksaan Pasca-Raya dengan menawarkan sebanyak 20% diskaun bagi alat ganti dan aksesori kepada semua kenderaan yang diperiksa yang kembali ke pusat servis sah Perodua di seluruh negara.
“Kepada pelanggan yang dihargai, sila selenggara kenderaan Perodua anda di pusat servis sah Perodua. Kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada
semua yang beragama Islam. Kepada yang lain, selamat bercuti dan semoga perjalanan anda selamat,” kata Datuk (Dr) Aminar.