Perodua baru-baru ini mengagihkan 100 kerusi keselamatan kanak-kanak GearUp kepada pengguna jalan raya di tiga kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Semenanjung Malaysia, sebagai sebahagian daripada kempen 5-tahun Keselamatan Jalan Raya yang dilancarkan pada Oktober lalu.

KERUSI keselamatan kanak-kanak itu diserahkan kepada pemandu Perodua yang bertuah yang membawa anak-anak berusia kira-kira antara dua dan enam tahun di stesen minyak Petronas di R&R Rawang (Lebuhraya PLUS), R&R Bentong (Lebuhraya Karak) dan R&R Seremban (Lebuhraya KL-Seremban).

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato ‘Dr Zahari Husin menyampaikan kerusi kepada salah seorang pemilik kenderaan Perodua

“Ini adalah kali pertama Perodua menganjurkan acara ini dengan kerjasama rakan niaga kami, Petronas, serta panel insurans kami,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato ‘Dr Zahari Husin.

“Kami mengambil inisiatif khas ini kerana kami prihatin terhadap keselamatan pelanggan kami dan keluarga mereka. Kami berharap rakyat Malaysia sedar kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam menjamin keselamatan anak-anak mereka ketika kenderaan bergerak,” katanya.

Diperkenalkan bersama dengan Kempen Keselamatan Jalan Raya pada bulan Oktober, kerusi keselamatan kanak-kanak GearUp Perodua boleh didapati dalam dua model. Kedua-duanya boleh dipasang pada ISOFIX dan memenuhi piawaian keselamatan ECE R44.

Kerusi keselamatan bayi, yang berharga RM622.50 (RM640 di Malaysia Timur), sesuai untuk bayi yang beratnya sehingga 13 kg, manakala kerusi kanak-kanak yang berharga RM736 (RM754.50 di Malaysia Timur) direka untuk kanak-kanak yang beratnya antara 9-36 kg.

Semua harga di atas merupakan harga pengenalan dengan 0% Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sah sehingga 30hb Jun.

“Lebih dua juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya di musim perayaan ini. Semakin banyak kenderaan, semakin tinggi risiko pelanggaran dan kemalangan berlaku,” kata Dato’ Dr Zahari.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato ‘Dr Zahari Husin melihat kerusi keselamatan kanak-kanak

“Tali pinggang keledar direka untuk menahan orang dewasa dan bukan kanak-kanak. Sila letakkan anak-anak anda di kerusi keselamatan kanak-kanak di tempat duduk belakang, dan jangan letakkannya di ribaan anda apabila kenderaan sedang bergerak.

“Selalu pasangkan tali pinggang keledar depan dan belakang, gunakan isyarat membelok dan jangan gunakan telefon bimbit anda ketika bergerak. Ini adalah untuk memastikan perjalanan anda ke kampung halaman adalah selamat,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini