Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini mula menerima pra-tempahan untuk varian-varian Volkswagen Golf di semua pengedar Volkswagen di seluruh negara.
KELUARGA Golf terdiri daripada varian Golf TSI Sportline dan R-Line, Golf GTI yang ikonik serta Golf R berprestasi tinggi. Ia mengekalkan karisma model-model terdahulu dengan reka bentuk tersendiri.
Model itu kini ditambah baik bersama perincian baru seperti bampar yang direka semula, lampu utama dengan konsep baru dan lampu belakang LED.
Dilancarkan pada tahun 1974, Golf merupakan model Volkswagen yang paling berjaya. Ia memainkan peranan penting dalam industri automotif dengan menetapkan penanda aras pada kelas kenderaan kompak.
Selain menjadi peneraju dalam kecanggihan teknologi kenderaan. Ia telah memenangi pelbagai anugerah, termasuklah “Kereta Kompak Keluarga Terbaik” oleh Auto Express UK dan “Kereta Kecil Terbaik” dalam Anugerah News Autos 2017.
Terkenal di seluruh dunia, Golf GTI yang pertama telah mencipta kategori hot hatch apabila dilancarkan. Maka tidak hairanlah jika ia dianugerahkan sebagai “Kereta Paling Berpengaruh Sepanjang Zaman” oleh majalah pemotoran UK, Autocar UK.
Hatch berprestasi tinggi, Golf R telah mencipta dan memecahkan banyak rekod litar di seluruh dunia. Sama ada di atas jalan atau litar, tarikannya terletak pada keupayaan menjadi sebuah kereta serba boleh yang ada di pasaran.
Sehingga kini, lebih 34 juta unit Golf dengan pelbagai varian bentuk badan telah dihasilkan dan dijual di seluruh dunia. Malah secara purata, satu unit Golf baharu dibina, dibeli dan diserahkan kepada pelanggan pada setiap 40 saat, sejak empat dekad lalu.
Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter yakin bahawa keluarga Golf baharu akan diterima baik di Malaysia kerana ia sudahpun mempunyai pengikut yang ramai di sini.
“Dengan pengenalan empat varian ini, ada Golf untuk semua orang. Kami yakin rangkaian model ini akan dapat memenuhi ekspektasi dan kehendak para peminat Golf di Malaysia,” katanya.
VPCM juga menawarkan rakyat Malaysia peluang untuk memenangi percutian yang ditanggung sepenuhnya ke Festival GTI Worthersee di Austria. Peraduan itu sedang berlangsung sekarang hingga 27 Mac 2018. Perinciannya boleh didapati di laman web Volkswagen Malaysia.
Rakyat Malaysia berpeluang untuk melihat secara dekat Golf GTI dan Golf R baharu dalam acara Siri Jelajah Volkswagen. GTI akan dipamerkan di AEON Bandar Dato Onn di Johor Bahru pada 27 Mac hingga 1 April.
Manakala Golf R akan melakukan debut di pasaran tempatan di pusat membeli-belah 1 Utama mulai 28 Mac hingga 1 April 2018.
Tempahan dan sesi pandu uji boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.volkswagen.com.my
Harga Golf : RM155,990 (Sportline)
Harga: RM169,990 (R-Line)
Golf 1.4 TSI ditawarkan dalam varian Sportline dan R-Line. Kedua-dua varian ini dikuasakan oleh enjin 1.4TSI dengan pengecas turbo yang dipadankan bersama kotak gear direct shift klac kering 7 kelajuan (DSG).
Ia mampu menjana kuasa mencecah 150PS dan tork 250Nm di antara 1,500 hingga 3,500rpm. Golf R-Line didatangkan dengan tempat duduk kulit ‘Vienna’, rim aloi 17”
Singapore, Paparan Info Aktif bersaiz 12.3”, komposisi media bersaiz 8” dengan App-Connect. Selain lampu utama LED dengan Lampu Statik dan Lampu Membelok Dinamik.
Golf GTI
Harga: RM239,990
Hot hatch terbaik, Golf GTI menggunakan enjin pengecas turbo 2.0TSI baharu yang dipadankan dengan kotak gear direct shift klac basah 6 kelajuan (DSG).
Janaan kuasanya cukup mengagumkan iaitu 230PS dan tork 350Nm di antara 1,500 hingga 4,600rpm. Golf GTI dipasang dengan tempat duduk kulit GTI ‘Vienna’, rim aloi Milton Keynes bersaiz 18”, Paparan Info Aktif bersaiz 12.3”, komposisi media bersaiz 8” bersama App-Connect dan lampu utama LED dengan Lampu Membelok Dinamik.
Di samping lampu belakang LED dengan Indikator Dinamik dan Adaptive Chassis Control (DCC) bersama pilihan mode pemanduan.
Golf R
Harga: RM295,990
Jentera yang menawarkan prestasi sebenar, Golf R hadir dengan enjin pengecas turbo 2.0TSI baharu yang dipadankan dengan kotak gear direct shift klac basah 7 kelajuan (DSG).
Ia menjanjikan output mengagumkan 290PS dan tork 380Nm di antara 2,000 hingga 5,400rpm yang disalurkan ke sistem pacuan semua roda 4MOTION.
Golf R hadir bersama tempat duduk kulit R ‘Vienna’, rim aloi Pretoria bersaiz 19”, Paparan Info Aktif bersaiz 12.3”, paparan Discover Pro bersaiz 9.2” dengan App-Connect dan Kawalan Gestur.
Tidak ketinggalan lampu utama LED dengan Lampu Membelok Dinamik, lampu belakang LED bersama Indikator Diamik dan stereng yang progresif.