Naza Italia kini secara rasminya memperkenalkan Maserati Ghibli dan Ghibli S 2018 untuk pasaran Malaysia. Model M157 ‘facelift’ itu, yang diperkenalkan pertama kali tahun lalu, di jual untuk pasaran tempatan dalam beberapa varian – standard, GranSport dan GranLusso.
BERBANDING model terdahulu, versi 2018 memberikan penampilan baru dengan gril yang lebih besar dan profile “sharknose” yang diwarisi dari konsep Alfieri. Varian paling asas Ghibli serta Ghibli GranLusso berkongsi penampilan muka depan yang sama, sementara varian GranSport menampilkan rekaan bampar yang berbeza.
Rekaan lampu utama walaupun nampak sama, ia sebenarnya menggunakan lampu LED adaptif baru yang melengkapi varian GranLusso dan GranSport (model standard menggunakan unit bi-xenon).
Kit badan sisinya kini menerima warna yang sama dengan badan, dan lencana baru pada fender hadapan membezakan varian masing-masing. Di belakang, diffuser dengan rekaan lebih menonjol dalam warna badan turut disertakan.
Elemen penggayaan luaran GranLusso termasik kemasan krom yang digunakan pada bampar depan, lencana khas pada bahagian sayap depan, kit sisi dalam warna badan, brek kaliper warna perak dan rim aloi 20-inci Urano Diamond.
Menjengah ruang dalaman menyaksikan sentuhan mewah menggunakan kekemasan Ermenegildo Zegna Silk yang digabung dengan kemasan kayu Ebano menghiasi bahagian tempat duduk, panel pintu, garis bumbung dan siling. Ciri lain termasuk stereng dari kayu eboni balutan kulit, kerusi dengan larasan 12-cara dan lain-lain.
Bagi varian GranSport, perincian luaran terdiri daripada kemasan hitam berkilat pada bampar depan, lencana khas pada sayap depan, kaliper brek warna merah dan rim aloi 21-inci Titano Anthracite. Ia turut dilengkapi dengan tempat duduk larasan 12-cara dan balutan kulit sepenuhnya, stereng sport dengan paddle shift dan pedal Inox sebagai standard.
Ghibli standard pula masih gunakan enjin yang sama; 3.0 liter twin-turbo V6 yang digandingkan dengan transmisi ZF HP70 lapan-kelajuan automatik. Ia menjana 350 PS pada 5,500 rpm dan 500 Nm pada 4,500 rpm. Bacaan 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat dan laju maksimum ialah 267 km/j.
Bagaimanapun, varian Ghibli S menerima prestasi enjin yang dipertingkat. Outputnya kini ialah 430 PS pada 5,750 rpm dan 580 Nm tork pada 2,250 hingga 4,000 rpm – 20 hp dan 30 Nm lebih kuasa berbanding versi 2017. 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat (berbanidng 5 saat sebelumnya) dan laju maksimum ialah 286 km/j (sebelum ini 285 km/j).
Bagi harga pula, model Ghibli bermula dari RM618,000 (termasuk cukai dan duti) bagi model standardnya. Sementara bagi Ghibli GranLusso dan GranSport pada harga RM668,800. Bagi Ghibli S pula, harganya bermula dari RM718,800 untuk yang paling asas, sementara varian GranSport dan GranLusso-nya dijual pada harga RM768,800.
Model ini datang dengan jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan serta program servis percuma lima-tahun/100,000 km/j (termasuk pakej Maserati Premium Service Plus tiga-tahun/60,000km/j).