Februari 2018 merupakan bulan yang sibuk bagi PROTON kerana syarikat menumpukan pada
aktiviti untuk hasil yang lebih baik pada tahun ini.
MESKIPUN terdapat cuti sempena perayaan Tahun Baru Cina, inisiatif-inisiatif bagi jualan, pemasaran dan penambahbaikan kualiti tetap dilaksanakan seperti yang dirancang di samping menjalankan ujian terhadap SUV dan model pertama yang dibangunkan bersama Geely, untuk pelancaran pada suku keempat.
Inisiatif-inisiatif ini diteruskan pada bulan Mac, dengan model-model dan tumpuan tertentu yang telah dirancang untuk penambahbaikan. Di peringkat antarabangsa, Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group, Li Shufu, mengumumkan yang beliau telah memperoleh 9.69% pegangan dalam syarikat Jerman, Daimler, justeru menjadikannya pemegang saham tunggal terbesar bagi Mercedes-Benz dan trak Daimler.
PROTON mampu berkongsi kelebihan bersama melalui rakan niaganya, Geely yang kini memiliki 49.9% daripada jumlah saham daripada PROTON.
Apabila kerjasama bersama Geely diumumkan, PROTON telah menjalani program peningkatan kualiti bersama rakan niaganya melalui sistem penilaian yang berdasarkan kriteria pemarkahan global Volvo.
Pada Disember 2017, audit kualiti telah dilakukan oleh Geely dan ianya menunjukkan peningkatan tiga kali ganda, yang merupakan bukti keberkesanan kerjasama yang sedang berjalan di antara kedua-dua syarikat itu.
Penambahbaikan lebih lanjut secara berperingkat akan diperkenalkan dengan audit seterusnya yang dijadualkan pada bulan Mac 2018, PROTON yakin dapat mencapai peningkatan skor auditnya.
Penambahbaikan ini adalah penting sebagai persiapan yang sedang dilakukan bagi pelancaran SUV pertama PROTON, yang dijadualkan pada penghujung 2018.
Bagi Februari 2018, PROTON telah mencapai jualan yang bersamaan 9.6% daripada pegangan keseluruhan pasaran automotif Malaysia. Majoriti jualan dihasilkan melalui model Saga, Persona, Exora dan juga Iriz yang terus menarik minat pelanggan melalui reka bentuk, teknologi dan kelebihan nilainya.
Pada Mac 2018, kempen PROTON iaitu ‘My Style, My Drive’ akan bermula dan boleh didapati di cawangan jualan di seluruh negara dan untuk bulan ini, kempen ini akan menumpukan kepada Proton Iriz.
Pelanggan dijemput untuk memandu uji model kompak yang telah memenangi anugerah ini untuk merasai sendiri ciri-ciri baharu yang telah diperkenalkan dalam model yang dipertingkat pada 2017.
Pada masa yang sama, kakitangan PROTON juga akan bertemu dengan para pelanggan untuk memberi penerangan mengenai cara terbaik menggunakan pelbagai ciri pintar kereta ini. Berkunjunglah ke bilik-bilik pameran PROTON yang turut dilengkapi sudut keselamatan untuk memahami aspek-aspek keselamatan bagi model hatchback ini yang telah mendapat
penarafan 5 bintang oleh ASEAN NCAP.
Bagi mereka yang mencari sebuah kereta yang memudahkan, bersaiz kompak serta mempunyai ruang dalaman yang luas untuk 5 penumpang dewasa dan bagasi, Proton Iriz adalah pilihan yang tepat. Apabila kami melancarkan model yang telah ditambahbaik ini pada 2017, ramai yang memberi komen terhadap tahap bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH) yang lebih baik serta penggunaan bahan api yang lebih cekap.
Ruang dalamannya juga telah dinaiktaraf dengan bebenang merah pada stereng yang dibaluti kulit dan tempat duduk menjadikannya kelihatan lebih kemas, anggun dan bergaya.
Sejak model ini mula diperkenalkan pada September 2014, Iriz telah memenangi pelbagai anugerah seperti Kereta Kompak Hatchback Tahunan dan Anugerah Pilihan Rakyat di NST Car of the Year 2014, Reka Bentuk Perindustrian Terbaik 2015 oleh Perbadanan Harta Intelek, Kereta 5-Bintang ASEAN NCAP Paling Mampu Milik di Malaysia pada Anugerah Grand Prix
ASEAN NCAP 2016 dan Kereta Bajet Terbaik di Anugerah Tahunan Kereta ASEAN 2016.
Model yang ditambahbaik pula telah menerima anugerah Kompak Terbaik di Anugerah Pilihan Pengarang Carsifu 2017. Kepada para pelanggan yang menempah sebuah Proton Iriz pada bulan Mac ini akan menerima rebat sehingga RM3,800.