Siri kedua jelajah 1st Student Entrepreneurship Programme (1st Step) anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Sekolah Menengah Teknik Kuantan mendapat sambutan menggalakkan.

SERAMAI lebih 800 pelajar sekolah aliran teknik dan vokasional serta sekolah menengah harian di sekitar Kuantan menghadiri program ini.

Program 1st Step ini yang berkonsepkan seminar dan aktiviti keusahawanan, bertujuan untuk memupuk sikap keusahawanan di kalangan pelajar sejak di bangku sekolah lagi.

Bertemakan ‘Perniagaan Satu Kerjaya’, terdapat pelbagai aktiviti yang menarik dan bermanfaat untuk semua para peserta. Sepanjang program ini juga, para peserta mengikuti taklimat keusahawanan daripada pakar motivasi keusahawanan termasuk taklimat khas daripada SSM dan agensi lain.

Selain itu, peserta juga mengikuti aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bertujuan untuk memberikan peluang kepada mereka mengimplementasi ilmu keusahawanan yang diperoleh sepanjang program ini berlangsung.

SSM turut menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 kepada kumpulan LDK yang memenangi tempat pertama iaitu kumpulan dari SMT Kuantan manakala tepat kedua dan ketiga menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500 dan RM300 yang dimenangi oleh kumpulan dari KV Pertanian Chenor dan KV Puteri Temerloh.

LDK ini bertujuan untuk melihat sejauh manakah tahap kemahiran pelajar-pelajar dalam melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan ciri-ciri keusahawanan.

Penganjuran Program 1st Step ini merupakan jalinan kerjasama di antara SSM dan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sebanyak 10 buah sekolah atau kolej telah dikenalpasti untuk siri jelajah program 1st Step pada tahun ini yang melibatkan tujuh buah Kolej Vokasional dan tiga buah Sekolah Menengah Teknik.

Siri jelajah pertama telah dianjurkan di Kolej Vokasional Gombak manakala Sekolah Menengah Teknik Kuantan dipilih sebagai lokasi kedua.

Pada program ini, SSM turut mengagihkan zakat korporat berjumlah RM40,000. Sebanyak RM30,000 wang zakat diagihkan kepada 100 orang murid yang tergolong dalam golongan asnaf manakala RM10,000 diagihkan kepada Surau SMT Kuantan.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini