UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) mengumumkan model Toyota Hilux kini menerima dua varian terbaru dalam versi “L Edition”, sementara Toyota Sienta kini didatangkan dengan aksesori yang dipertingkatkan serta beberapa ciri tambahan baru.

TEMPAHAN bagi kedua-dua model berkenaan juga sudah dibuka. Sebagai jawapan kepada maklum balas daripada pelanggan yang inginkan sebuah trak pikap yang premium dan tampil lebih gagah, Hilux L-Edition (L merujuk kepada “Luxury”) telah dibangunkan dan kini ditawarkan bagi kedua-dua varian 2.8 liter AT 4×4 dan 2.4 liter AT 4×4.

Membezakan versi L-Edition daripada varian Hilux yang lain ialah penampilan bahagian depannya yang lebih lebar dan agresif, disumbangkan oleh rekaan hexagonal pada gril yang dikelilingi kemasan krom.

Perubahan ini menyerlahkan lagi sisi gagah pada Hilux, yang menjadi taruhan utama sepanjang sejarah 50 tahun model berkenaan. Bahagian pemijak di belakang juga disertai dengan kemasan warna perak, menambahkan lagi sentuhan premium kepada penampilan trak pikap berkenaan.

Hilux L-Edition juga hadir dengan rim 18-inci lima jejari yang lebih bergaya dengan warna dwi-tona — perak dan hitam. Di ruangan dalam, Hilux L-Edition menggunakan kemasan serba hitam sebagai tema, yang turut digabungkan dengan kemasan piano black pada kabinnya.

Ini memberikan imej yang lebih menonjol dan membuatkan ruang berkenaan kelihatan mahal. Tempat duduk yang disaluti dengan kombinasi kulit pula mempunyai liang udara untuk memberikan keselesaan kepada penumpang.

Khusus bagi Hilux 2.8 L-Edition, ia didatangkan dengan meter Optitron dengan pencahayaan latar, untuk memberikan penglihatan lebih di dalam apa juga suasana.

Bagi aspek keselamatan, model L-Edition ini dilengkapi dengan 7-beg udara, Vehicle Stability
Control (VSC), Active Traction Control (A-TRC) dan Hill-start Assist Control (HAC) sebagai ciri
standard. Bagi model 2.8 L-Edition, ciri Downhill Assist Control (DAC) ditambah untuk
memudahkan pemanduan menuruni laluan curam agar lebih selamat.

Varian baru ini menampilkan penggunaan enjin 2.8 liter dan 2.4 liter empat-silinder turbodiesel
sedia ada pada Hilux yang menawarkan output lebih tinggi serta dipadankan dengan transmisi
automatik 6-kelajuan, lengkap dengan ciri sequential shifter.

Siri enjin yang digunakan ini menawarkan penyampaian tork low-end yang lebih baik, maklum balas pecutan yang lebih lancar, tahan lasak di dalam keadaan ekstrim serta kecekapan penggunaan minyak yang dipertingkat.

Bagi Toyota Sienta pula, sejak diperkenalkan pada Ogos 2016, model berkenaan telah
menawarkan nilai premium sebuah MPV kompak bagi pengguna urban yang berkeluarga dengan menampilkan rekaan unik dan bukannya sekadar sebuah kenderaan pengangkutan yang hambar.

Sekali lagi, berdasarkan maklum balas daripada pengguna, penawaran model ini bagi tahun 2018 hanyalah di dalam varian 1.5V dan hadir bersama tambahan aksesori dan ciri — tanpa sebarang perubahan harga.

MPV kompak ini kini dilengkapi dengan sistem DVD-AVX 6.9-inci yang dinaik taraf, lengkap
dengan ciri Bluetooth, HDMI, input kad SD serta kamera undur.

Pelanggan juga boleh menaik taraf kepada sistem DVD-AVN 7-inci yang ditawarkan sebagai
pilihan, yang didatangkan dengan sistem tunjuk arah GPS serta turut memuatkan lokasi-lokasi bilik pameran dan pusat servis Toyota di seluruh negara.

Ciri baru Panoramic View Monitor yang juga ditawarkan sebagai pilihan, akan banyak membantu ketika pemandu ingin meletakkan atau mengeluarkan kenderaan diruang parkir. Kamera pada kenderaan akan memaparkan suasana persekitaran disekeliling, membolehkan pemandu mengesan sekiranya terdapat apa-apa halangan pada titik yang tidak kelihatan dari dalam atau dari cermin pandang belakang.

Slot pengecas USB yang semakin penting kini turut disediakan pada tempat duduk barisan kedua untuk memudahkan pengguna. Dengan adanya tikar lapik pada ruang barangan di belakang, lantainya juga mendapat perlindungan tambahan. Ia direka khusus untuk meliputi sepenuhnya ruang berkenaan, dan mudah dikeluarkan sekiranya perlu.

Untuk kesenangan pelanggan, semua model-model Toyota didatangkan dengan jaminan 5-tahun dan tanpa had perbatuan (kecuali Hilux dengan perbatuan maksimum 150,000 km). Untuk memberi lebih nilai kepada kenderaan, jaminan itu boleh dipindahkan kepada pemilik seterusnya, selagi tertakluk kepada terma dan syarat.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Toyota Hilux L-Edition dan Sienta, layari laman web www.toyota.com.my.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini