Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade) menerima kelulusan daripada Jabatan Pengawasan Perniagaan Perkhidmatan Wang (MSB) Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melaksanakan perkhidmatan elektronik Know-Your-Customer (e-KYC).
MERCHANTRADE dalam kenyataannya hari ini berkata, pelaksanaan e-KYC akan diintegrasi dengan eRemit, portal dan aplikasi mobil perkhidmatan pengiriman wang yang pernah menggondol anugerah.
“Dengan e-KYC, pemohon baru kini lebih mudah untuk mendaftar dan menikmati pengalaman digital sepenuhnya semasa melakukan transaksi pertukaran wang menerusi eRemit.
“Integrasi ini dijangka beroperasi secara ‘live’ pada awal suku kedua 2018,” katanya.
Merchantrade berkata, perkhidmatan pengiriman wang dalam talian Merchantrade, eRemit, dibangunkan pada tahun 2011 dan menerima anugerah Best Remittance Breakthrough Transfers pada tahun 2016.
Selain itu, Merchantrade turut menggondol anugerah FPX Top Merchant pada tahun 2013. Pada tahun 2017, eRemit Merchantrade berjaya merekodkan sekitar RM700 juta transaksi dan melalui e-KYC, nilai transaksi eRemit dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2020.