Orang ramai kini berpeluang mengunjungi program ‘Joyful Malaysia @KLIA and klia2’ yang menampilkan jualan pelbagai produk industri asas tani keluaran usahawan Bumiputera Pulau Pinang sehingga 4 Mac.
PROGRAM itu diadakan di kawasan Anjung Malaysia, (dahulunya dikenali sebagai Anjung Tinjau), di tingkat lima KLIA serta di Agrobazaar dan ruang legar klia2.
Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang, Datuk Muhammad Farid Saad berkata, program dengan kerjasama Malaysia Airports Holding Berhad dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu membabitkan lebih 22 usahawan dan 67 unit simpanan stok (SKU).
“Program dengan warna dan bunyi negeri, memberi peluang kepada pengguna di kedua-kedua terminal penerbangan untuk melihat, merasai, mengalami dan menikmati keunikan produk, destinasi pelancongan serta menonjolkan juga kekuatan seni, budaya dan warisan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Katanya program itu adalah kesinambungan siri sebelum ini yang pernah menampilkan usahawan dan budaya dari Perak, Melaka, Johor, Selangor, Kelantan dan Terengganu pada tahun lalu.
Program itu turut mendapat sokongan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).
Beliau berkata, sempena penganjuran itu, pihaknya turut melaksanakan kerjasama memasarkan produk jenama Seri Pinang yang sinonim dengan negeri Pulau Mutiara itu.