Myvi baru berbaloi untuk dimiliki pada harga bawah RM56,000
APA yang menarik sangat dengan model Myvi baru 2018 yang dilancarkan di pasaran baru-baru ini? Tentu sekali ada beberapa faktor yang menjadi penyebab dan tidak hairanlah sejak mula dibuka untuk tempahan, model ini sudah menerima lebih 20,000 tempahan.
Jika diimbas ketika mula-mula model ini diperkenalkan pada 2005, kehadiran model kompak ini secara automatik mencetuskan evolusi tersendiri dan muncul sebagai model kenderaan paling laris dengan jualan lebih sejuta unit dalam sejarah Perodua (Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd).
Namun selepas beberapa kali model ini menjalani proses penambahbaikan (facelift), akhirnya generasi ketiga (Myvi 2018) muncul dengan beberapa ciri terbaru selari dengan perkembangan teknologi terkini dalam industri automotif.
Myvi baru ini hadir dengan 100 peratus rekaan baru dengan pilihan enjin 1.3 dan 1.5 liter. Lima varian ditawarkan iaitu 1.3 Standard G (MT) dan 1.3 Standard G (AT), 1.3 Premium X (AT), 1.5 High (AT), 1.5 Advance (AT).
Kesempatan Prebiu.com memandu uji model varian 1.5 Advance (AT), Merah Lava baru-baru ini jelas membuktikan kereta kegemaran rakyat Malaysia ini memiliki banyak kelebihan berbanding model terdahulu sesuai dengan taglinenya, Evolusi Ikon. Reka bentuk luarannya tampil lebih tirus dan rendah berbanding lebar pada model terdahulu dengan saiz keseluruhan lebih panjang dan diperendahkan 30mm agar lebih kestabilan. Pada pandangan penulis, ini memberikan kelebihan daripada segi penjimatan bahan api berikutan tahap rintangan angin dapat dikurangkan sekali gus menjadikan model ini meluncur laju di jalan raya.
Sekali imbas rekaan model Myvi baru ini seakan rekabentuk model popular kompak buatan Jepun khususnya cermin kecil pada bahagian belakang namun dipercantikkan lagi dengan lampu belakang LED yang tersusun kemas manakala lampu hadapan LED juga lebih cerah dan jelas dengan fungsi ‘auto-off’ dan ‘follow me home’. Apa yang pasti, rekaan kompak dari luar sebenarnya menawarkan ruang yang luas didalamnya malah prestasi enjinnya juga tidak mengecewakan walaupun dikerah pada kelajuan tinggi dan rendah. Sistem enjin henti/mula atau fungsi ‘Eco Idle’ yang berfungsi cekap memberikan tahap penjimatan minyak khususnya ketika dipandu di jalan raya sesak seperti di bandaraya.
Meskipun ketika enjin ini berhenti seketika, pendingin hawa yang berfungsi dengan bantuan bateri mampu memberikan tahap pengaliran udara yang diperlukan namun, jika anda tidak mahukan fungsi ini mengganggu perjalanan tekan saja butang ‘off’. Model varian 1.5 Advance (AT) turut dipadankan dengan rim aloi dua tona bersaiz 15 inci menyerlahkan gaya sporty manakala varian 1.3 dilengkapi rim bersaiz 14 inci. Untuk model ini, ia juga dipasang skirt sisi, bampar belakang dua tona hitam termasuk spoiler selain antena sirip yang lebih sporty.
Ruang dalaman Myvi baru ini juga kelihatan lebih menarik dan kemas khususnya papan pemuka yang tersusun serta mesra pengguna. Sistem kemasukan tanpa kunci dan butang tekan mula (Push-Start) membolehkan pemandu tidak perlu lagi menggunakan anak kunci bagi menghidupkan enjin. Panel pendingin hawa larasan digital terletak dibawah panel skrin multimedia cukup moden dan boleh ditetapkan dalam dua mod memori. Begitu juga dengan panel meter digital yang memaparkan jarak perjalanan yang merujuk kepada penggunaan bahan api.
Kerusi saduran kulit dengan kemasan jahitan merah dan putih cukup selesa untuk pemandu serta penumpang sekali gus membuktikan kualiti tinggi yang ditawarkan kepada pemilik.
Bahagian belakang Myvi ini juga dipanjangkan 937mm untuk kelegaan ruang kaki manakala ruang but seluas 277 liter, 69 liter lebih besar daripada Myvi generasi kedua mampu memuatkan bagasi dengan mudah. Jika mahukan ruang lebih luas, rebahkan sahaja kerusi belakangnya dan konfigurasi tempat duduk boleh laras 8+1 juga boleh disesuaikan mengikut keperluan.
Sistem multimedia ‘Smart Link’ dengan sambungan Bluetooth dilengkapi paparan kamera undur selain Pengesan Kedudukan Global (GPS) antara ciri premium yang datang bersama varian ini. Bagi mereka yang mahu mengecas gajet dan telefon bimbit, tiga saluran USB sangat praktikal malah penyangkut beg tangan anti kecurian pada kerusi penumpang hadapan amat berguna terutama kepada pemandu wanita.
Paling menarik, varian ini didatangkan dengan ciri alat pembaca tol binaan dalam dengan penunjuk baki dan anda hanya perlu menyediakan kad prabayar untuk mengaktifkannya.
Dipadankan dengan enjin 1.5 liter Dual VVT-i DOHC dengan kotak gear empat kelajuan automatik yang menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) menawarkan penjimatan bahan api terbaik. Ia mampu mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 20.1 dan 21.1 kilometer seliter (km/l). Enjin terbaru ini mencatatkan 103 PS pada 6,000 rpm dan daya tork 136 Nm pada 4,200 rpm. Untuk kestabilan, Myvi ini dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD) dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) serta enam beg udara.
Perbezaan varian ini dengan model lain adalah teknologi Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) yang kali pertama diperkenalkan dalam kenderaan keluaran Perodua. Teknologi ini membolehkan Amaran Pra-Pelanggaran (Pre-Collision Warning) pada kelajuan 30km/j diberikan kepada pemandu supaya tindakan pencegahan dapat dilakukan segera. Fungsi Brek Pra-Pelanggaran (Pre-Collision Braking) membantu memberhentikan kenderaan dengan membrek secara automatik jika pemandu gagal menekan pedal brek manakala Peringatan Bergerak ke Depan (Front Departure Alert) memberi amaran kepada pemandu bahawa kenderaan hadapan sudah bergerak terutama ketika kesesakan jalan raya.
ASA didatangkan dengan Kawalan Kegagalan Pedal (Pedal Misoperation Control) yang menghalang pergerakan kereta jika pemandu secara tidak sengaja tertukar transmisi mengundur kepada ‘drive’. Sistem ini akan diaktifkan sekiranya ada halangan di hadapan seperti dinding atau tembok. Model 1.5 Advance ditawarkan pada harga jualan RM55,300 (tanpa insurans) dengan waranti lima tahun atau 150,000km. Enam warna ditawarkan iaitu Kelabu Granite, Merah Lava, Ungu Mystical, Perak Glittering, Putih Ivory dan Hijau Peppermint (1.3 liter sahaja).
Ciri menarik Myvi Baru 2018
• Rekabentuk luaran lebih rendah dan tirus
• Fungsi lampu LED ‘auto-off’ dan ‘follow me home’
• Sistem enjin henti/mula atau fungsi ‘Eco Idle’ *varian 1.3 Premium X dan 1.5L
• Alat pembaca tol binaan dalam *varian 1.5L sahaja
• Enam beg udara keselamatan * varian 1.5L sahaja
• Sistem kemasukan tanpa kunci dan butang tekan mula (Push-Start)
• Teknologi Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) *varian 1.5L Advance sahaja
• Panel pendingin hawa larasan digital
• Penyangkut beg tangan anti kecurian
• Pengecas USB dengan poket sisi
Pada pandangan penulis, pada tanda harga dibawah RM56,000, Myvi 2018 ini dianggap berbaloi dimiliki dengan pelbagai ciri teknologi terkini yang ditawarkan. Model ini sesuai untuk semua peringkat golongan sama ada lelaki atau wanita bujang, berkeluarga, eksekutif dan pelajar yang inginkan kereta untuk kegunaan harian. Malah kereta ini juga boleh menjadi pilihan kepada mereka yang berminat menjadi pemandu perkhidmatan Uber atau Grab. Kesimpulannya, kereta ini benar-benar dihasilkan mengikut citarasa pengguna masa kini.
PERODUA MYVI 1.5L ADVANCE
• ENJIN: 1,496 cc DOHC empat silinder dengan Dual VVT-i
• KUASA MAKSIMUM: 103PS pada 6,000 rpm
• TORK MAKSIMUM: 136Nm pada 4,200 rpm
• TRANSMISI: Empat kelajuan automatik
• KAPASITI BAHAN API: 36 liter
• CIRI KESELAMATAN: Enam beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), Signal Berhenti Kecemasan (ESS) dan ISOFIX
• HARGA: RM55,300 (tanpa insurans)