Renault Captur yang kini sudah menjengah usia empat tahun dalam pasaran global dilihat bakal memperkenalkan versi facelift dengan sentuhan yang lebih segar.
MODEL itu ditemui oleh peminat Prebiu.com yang mengirimkan beberapa keping gambar eksklusif ketika kenderaan model crossover segmen B itu sedang menjalani ujian pandu uji di sebuah kawasan rehat di lebuh raya Utara-Selatan baru-baru ini.
Melihat kepada contoh model yang diperkenalkan di pasaran luar negara, model itu dijangka diberikan sentuhan baru di bahagian depannya menerusi grilnya diberikan rekaan semula dengan elemen palang krom pada logonya. Lampu utama LED Pure Vision juga diberikan sebagai pilihan. Lampu kabus LED dalam bentuk C pula terletak pada bahagian sudut bamparnya. Pendekatan reka bentuk pencahayaan ini turut dilanjutkan ke bahagian belakang menerusi lampu belakang dengan lampu panduan LED.
Selain itu, skid plate pada bahagian depan dan belakang juga diberi kemasan baru. Bagi pilihan warna, Renault Captur facelift ini diberikan dua warna baru, Atacama Orange dan Ocean Blue, serta warna bumbung baru Platinum Grey bagi versi dwi-tona.
Ruang dalaman pula, pemilik boleh pilih daripada enam warna yang ditawarkan; Ivory, Ocean Blue, Caramel, Red, Satin Chrome dan Patina Chrome. Sebagai tambahan, ruang luaran hadir dalam lima pilihan warna; Ivory, Oceam Blue, Cappuccino, Red dan Atacama Orange.
Bagi spesifikasi peringkat ketiga ke atas, bumbung kaca panoramik disertakan, sekali dengan rim 17 inci dan dua rim 18 inci aloi rekaan baru. Bagaimanapun, tiada apa-apa perubahan pada enjin dan transmisi dan ia masih menggunakan tiga pilihan enjin terdahulu.
Tiga pilihan enjin iaitu enjin TCe 898 cc turbo tiga-silinder petrol (90 hp/135 Nm), enjin 1.2 liter TCe 120 turbo empat-silinder (116 hp/190 Nm) seperti yang ada di Malaysia dan enjin 1.5 liter dCi 90 empat-silinder turbodiesel (90 hp/220 Nm). Bagi transmisi, pilihan yang ada ialah manual lima-kelajuan dan kotak gear Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan.