PENJUALAN nombor pendaftaran kenderan khas VIP sempena Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP 2017) mengutip hasil RM10.3 juta dengan 1,903 nombor yang terjual dalam tempoh setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata jumlah itu adalah nilaian kasar sebelum ditolak kos pengendalian dan bayaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Projek ini adalah inisiatif bersama pihak swasta (Digital Tourism Sdn Bhd) bagi membantu kerajaan negeri menjayakan Kempen Tahun Melawat Pahang dan sebahagian besar program promosi dan publisiti di luar negara yang dijalankan, telah dibiayai melalui projek ini,” katanya.
Katanya, lazimnya kos untuk menjayakan satu-satu kempen tahun melawat negeri yang ditanggung oleh kerajaan negeri mencecah sehingga RM20 juta sehingga RM40 juta, namun hasil kerjasama pintar, Tourism Malaysia Pahang berjaya memperoleh tajaan dan sumbangan sebanyak RM31.2 juta.
Menurut Mohd Sharkar, hasil pelbagai program promosi dan kempen yang diadakan baik di dalam mahupun luar negara, termasuk misi promosi khas di dua bandar utama di Beijing dan Nanjing, China jumlah kehadiran pelancong di 21 lokasi pelancongan di negeri ini terus meningkat.
Beliau berkata, untuk tempoh Januari sehingga September tahun ini, rekod kehadiran pelancong dicatatkan meningkat sebanyak 20.4 peratus iaitu 11.29 juta orang berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas hanya seramai 9.2 juta pelancong.
“Mengikut statistik, pelancong negara China direkodkan paling ramai berkunjung ke Pahang dengan 804,415 pelancong dalam tempoh berkenaan diikuti Singapura 691,603 orang, Indonesia (200,416), Jepun (131,679) , India (80,649), Thailand (54,994) dan negara-negara lain,” katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan juga sebanyak 57 acara yang merangkumi 36 acara yang disenaraikan dalam acara kalander pelancongan 2017 dan 21 acara tambahan dilaksanakan.
Secara keseluruhan Mohd Sharkar berkata, kempen TMP 2017 berjaya mencapai matlamat dan sasaran kerajaan negeri untuk menambah serta meramaikan kedatangan pelancong serta memperbanyakkan perbelanjaan pelancong di negeri ini. -Bernama
SENARAI NOMBOR PLAT KHAS SETAKAT INI
- G1M
- 1M4U
- PATRIOT
- NAAM
- PERFECT
- RIMAU
- VIP
- GT
- SMS
- Y
- G
- A1M
- US
- 1MCY
- T1M