Perodua Myvi terbaru 2018 sudah menerima tempahan lebih 6,000 unit pada hari pertama pelancaran
PERODUA Myvi baru yang dilancarkan pada 16 November lalu membuat penghantaran pertamanya, semalam kepada pemilik pertama yang juga Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar.
“Sebagai Pengerusi Kumpulan PNB, saya sungguh bertuah menjadi pelanggan pertama yang menempah dan pemilik pertama menerima model terbaru Myvi ini pagi, semalam,” kata Tan Sri Abdul Wahid.
Model terbaru Myvi menerima tempahan 6,000 unit sehingga jam 8 malam pada 17 November dan turut membuat penghantaran pertama seawal jam 8 pagi pada hari sama. Model pilihan rakyat Malaysia itu mula membuka tempahan pada 9 November lalu.
Sementara itu, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata, pihaknya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, kerajaan dan pemegang saham kerana menyokong penuh sehingga Myvi ini dikeluarkan.
Dalam pada itu, tiga pemenang hadiah utama “Peraduan Menang & SMS Ulang Tahun Myvi ke-12” turut menjadi antara pemilik pertama selepas Perodua menyerahkan kunci model Myvi 1.5 Advance, semalam.

Pemenang bertuah itu ialah Chin Mei Ling, 26, Mohd Nazmil Mohd Nasir, 33, dan Ong Kok Seng, 60. Harga jualan sebelum insurans Myvi 1.5 Advance ialah RM55,300.
Model generasi pertama Perodua Myvi diperkenalkan pada 2005 dan lebih sejuta unit sudah dikeluarkan antara 2005 dan 2017, menjadikannya model Perodua paling popular dalam sejarah. Perodua setakat ini sudah menghasilkan lebih daripada 3.2 juta kenderaan sejak Ogos 1994.




































