Nombor cantik dan menarik berjaya mencecah bidaan jutaan ringgit apabila ditawarkan

BAGAIKAN menjadi satu trend sepanjang tahun ini apabila beberapa pihak tertentu sama ada dari yayasan, persatuan, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu menawarkan nombor plat khas atau spesial untuk peminat nombor di negara ini.

Bermula dari beberapa siri nombor khas kenderaan seperti G1M (Gagasan 1 Malaysia), 1M4U (1Malaysia for Youth), PATRIOT dan NAAM yang membawa maksud New Affirmative Action Movement.

Paling terkini ialah Pertubuhan Transformasi Anak Muda Malaysia yang melancarkan penjualan nombor plat kenderaan T1M yang membawa maksud Tranformasi 1Malaysia sebagai tanda sokongan misi kerajaan ke arah pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Bidaan nombor plat bermula dari T1M1 hingga T1M1000 akan dibuka secara rasmi melalui laman web www.platt1m.com bermula 20 November sehingga 20 Disember ini.

Setakat ini, nombor plat PATRIOT 1, muncul sebagai nombor plat paling mahal dijual di Malaysia mencecah harga RM1.308 juta kepada pemenang bidaan yang tidak diumumkan. Nombor siri standard yang merekodkan jualan tertinggi ialah F1 yang dimiliki oleh Sultan Ibrahim, Sultan Johor pada harga (RM836,660) dan W1N pada nilai RM748,000.

Nombor VIP yang pernah diperkenalkan

Selain nombor plat yang tersenarai diatas, turut menjadi rebutan peminat nombor khas ialah siri nombor RIMAU sempena penganjuran Sukan Sea 2017 yang mana Malaysia menjadi tuan rumah sukan berprestij itu. RIMAU membawa maksud Respect, Integrity, Move, Attitude dan Unity.

Turut muncul dalam siri nombor khas ialah PERFECT, VIP (Majlis Pelancongan dan Kebudayaan Pahang), GT yang diperkenalkan oleh Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) diikuti pula plat khas siri SMS yang meraikan pelantikan Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang dua kali ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong. Plat berkenaan dikeluarkan menerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB).

Selain itu, turut berada di pasaran ialah siri nombor Y yang diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk Yayasan Nur Jauhar diasaskan oleh Tun Jauhar dan Toh Puan Hajah Norlidah.

Tidak ketinggalan nombor plat G yang diluluskan bagi Yayasan Chong Wei, milik pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei.

Artis 1Malaysia juga memperkenalkan nombor plat siri A1M oleh Datuk Irwan Shah Abdullah yang juga dikenali sebagai DJ Dave, penyanyi terkemuka tempatan.

Menyertai golongan artis, nombor plat khas yang agak unik seakan singkatan nama negara Amerika Syarikat (US) yang diperkenalkan oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman). Bagaimanapun, nombor plat US (Untuk Seniman) itu tidak ditawarkan dari 1 hingga 9999 tetapi US hanya ditawarkan dari US1 hingga US1000 sahaja.

Agak-agaknya apa pula nombor plat khas yang bakal muncul pada akan datang. Kita sama-sama Tunggu dan Lihat.

SENARAI NOMBOR PLAT KHAS SETAKAT INI

  1. G1M
  2. 1M4U
  3. PATRIOT
  4. NAAM
  5. PERFECT
  6. RIMAU
  7. VIP
  8. GT
  9. SMS
  10. Y
  11. G
  12. A1M
  13. US
  14. 1MCY
  15. T1M

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini