Menjelang pembukaan 118 Mall yang amat dinanti-nantikan pada tahun ini, destinasi gaya hidup yang tersergam di presint ikonik Merdeka 118 baru-baru ini telah menerima kunjungan khas delegasi Decathlon dari seluruh rantau APAC untuk melawat dan meninjau secara dekat kawasan sekitar pembangunan, termasuk mengunjungi cawangan utama jenama ini yang bakal beroperasi di pusat beli-belah
tersebut.
Rombongan ini termasuk wakil dari pasaran Decathlon di seluruh Thailand, Kemboja, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan dan Vietnam.
Merangkumi ruang seluas 22,000 kaki persegi di Aras 2, cawangan Decathlon yang bakal dibuka ini diilhamkan sebagai projek premium yang pertama seumpamanya dan gedung legasi bagi Decathlon Malaysia, menghimpunkan elemen sukan, komuniti dan gaya hidup dalam pengalaman membeli-belah yang lebih moden, dinamik dan eksklusif.
Menampilkan identiti Malaysia yang unik, gedung ini direka dengan ruang dalaman moden berinspirasikan motif Songket, disertai dengan fasad yang diberi nafas baharu dan memberikan pengalaman membeli-belah yang premium.
Selain itu, pengunjung turut boleh menikmati perkhidmatan khusus seperti cetakan, ukiran khas, dan perkhidmatan pemasangan tali raket bagi badminton, tenis dan sukan lain.





































