Sempena bulan Ramadan ini, Stadium Merdeka yang bersejarah mengalu-alukan satu tradisi baharu dengan pelancaran Bazram Merdeka, Bazaar Ramadan pertama yang diadakan di presint Merdeka 118.
Berlangsung dari 21 Februari hingga 18 Mac 2026, Bazram Merdeka mencerminkan komitmen PNBMV kepada wawasan Warisan KL, yang turut dikenali sebagai Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI, dalam usaha menghidupkan semula tempat bersejarah di Kuala Lumpur menerusi pemuliharaan kota berasaskan warisan dan budaya serta pelbagai aktiviti pembangunan setempat.
Sebagai lokasi utama di bawah Warisan KL, bazar ini diadakan di Stadium Merdeka dan dijangka menarik kira-kira 100,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya.
Dato’ Ir. Ts. Izwan Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, berkata, “Stadium Merdeka sejak dahulu lagi merupakan ruang berkumpul dan menjadi tumpuan kepada rakyat Malaysia.
“Menerusi Bazram Merdeka, kami ingin meneruskan semangat tersebut dengan mewujudkan pengalaman Ramadan yang terbuka, mesra dan berteraskan komuniti. Sejajar dengan wawasan Warisan KL, kami percaya tempat bersejarah perlu terus dihidupkan dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Dengan menganjurkan Bazram Merdeka di sini, kami berharap untuk membawa orang ramai kembali ke tempat bersejarah ini dan menjadikannya acara tahunan yang dinantikan-nantikan.”
Bazram Merdeka mengalu-alukan kehadiran orang ramai, termasuk keluarga, golongan pelajar, pekerja, pelancong serta komuniti sekitar, untuk berbuka puasa di tengah kota. Para pengunjung boleh membeli pelbagai pilihan makanan dan minuman daripada peniaga dan menikmati juadah berbuka puasa sambil ‘berkelah’ di atas padang Stadium Merdeka.
Antara yang ditawarkan termasuk sajian kegemaran tempatan dan juadah klasik bazar, makanan gerai, kuih-muih, dan minuman menyegarkan, seperti Air Kelapa Pandan terkenal oleh Sophia Albarakbah, Alif Satay, Amane Pizza, Burger Blek, DC Yogurt, Mr. Crispy Prawn, Henry Lekor dan banyak lagi. Selepas berbuka puasa, pengunjung juga boleh menunaikan Solat Tarawih di Masjid Al-Sultan Abdullah, yang terletak berhadapan Stadium Merdeka.
Para peniaga yang mengambil bahagian turut menzahirkan penghargaan atas peluang untuk berniaga di Bazram Merdeka. Andy Leng dari Imperial Beef Roti berkata, penyertaan kami di Bazram Merdeka sememangnya satu pengalaman yang sangat baik.
“Dengan kehadiran pengunjung yang ramai ke kawasan Merdeka 118, peniaga seperti kami mendapat pendedahan yang lebih luas dan peluang untuk menarik pelanggan baharu. Kami amat menghargai usaha PNB dan Merdeka 118 dalam menyediakan platform seperti ini untuk menyokong perniagaan tempatan sepanjang Ramadan,” katanya.




































