Pelakon legenda tanah air, Wan Hanafi Su, 75, menyifatkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mempunyai nilai sentimental yang istimewa dalam hidupnya apabila kini dua generasi keluarganya turut bergelar graduan universiti bersejarah itu.

Beliau hadir ke Istiadat Konvokesyen UPSI ke-27 sesi ketiga hari ini bagi meraikan cucunya, Alyssa Jasmin Khairul Anuar, 20, yang menerima Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Menariknya, anak bongsu beliau, Adil Al Syawal Wan Hanafi, 25, turut akan bergraduasi
pada sesi kelapan pada istiadat sama selepas menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana
Muda Pendidikan (Muzik) dengan kepujian.

“Saya sangat berbangga kerana bukan sahaja cucu saya menuntut di UPSI, malah anak
bongsu saya juga akan bergraduasi tidak lama lagi.

“Ini membuktikan UPSI bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi wadah membentuk jati diri dan nilai dalam keluarga kami,” katanya ketika ditemu bual dalam podcast ‘Tanya Tapi Relax’ anjuran Bahagian Komunikasi Korporat UPSI.

Menurut Wan Hanafi, hubungan beliau dengan UPSI sudah terjalin sejak lama, ketika
universiti itu masih dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC).

“Saya pernah berlakon di bangunan lama sini sewaktu RTM menerbitkan drama Bumi Kita.
Dari situ saya mula mengenali dan menghargai nilai sejarah UPSI. Malah adik perempuan
saya juga graduan UPSI dan kini sudah bersara.

Mengulas tentang tema konvokesyen pada sesi ini, Ibu, Wan Hanafi berseloroh bahawa
meskipun dirinya bukan seorang ibu, peranan datuk dan generasi terdahulu juga penting
dalam membentuk kejayaan keluarga.

“Saya bukan ibu, saya Tokki. Tapi Tokki pun datang daripada ibu juga. Jadi jangan lupa jasa
datuk dan nenek kerana kasih mereka juga membentuk siapa kita hari ini.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada anak dan cucunya supaya menggunakan ilmu yang diperoleh bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi bagi memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kehidupan ini tentang pilihan. Pilihlah untuk menjadi seseorang yang membawa kebaikan.
Hormati ilmu, tunaikan janji, dan gunakan bakat serta pengetahuan untuk membina masa
depan yang lebih baik,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini