Bertemakan ‘Forging Resilience’, persidangan tiga hari ini akan mendedahkan strategi pemulihan pasca pandemik untuk industri pelancongan penjagaan kesihatan

Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) bakal menganjurkan insigHT2021, persidangan pasaran pelancongan kesihatan terkemuka di rantau ini, yang akan berlangsung secara maya pada 16 hingga 18 November ini.

Bertemakan ‘Forging Resilience’insigHT2021 akan memberi tumpuan kepada industri pelancongan kesihatan sedunia dan keupayaannya untuk kekal bertahan dalam mengharungi ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19.

Kini diadakan buat tahun keenam, insigHT telah berjaya menarik ramai penceramah dan peserta antarabangsa yang mengiktiraf insigHT2021 sebagai satu platform bagi mengatur strategi dan memupuk kerjasama dalam mengekalkan dan mengembangkan industri pelancongan kesihatan.

“COVID-19 telah membawa beberapa cabaran bagi rantaian nilai industri pelancongan kesihatan susulan sekatan berpanjangan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Amat penting bagi industri pelancongan kesihatan untuk belajar daripada kesan COVID-19 dengan mengatur strategi dalam tindakan yang perlu dilakukan.

Di sinilah, insigHT memainkan peranan penting sebagai sumber idea bagi memacu industri demi masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Mohd Daud Mohd Arif.

“Bagaimanapun, satu perkara yang boleh kita pelajari daripada wabak itu ialah kerjasama silang sememangnya penting dalam mempercepatkan pemulihan industri dan membangungkan landskap pelancongan kesihatan negara untuk melangkah maju ke hadapan,” tambahnya.

insigHT2021 adalah platform bagi memperkukuhkan kerjasama silang kerana ia menghimpunkan penceramah utama dan pakar daripada pelbagai sektor rantaian nilai untuk bersama-sama kongsi pandangan tentang strategi pemulihan pasca pandemik untuk kemampanan industri.