Terus meneraju perkhidmatan pascabayar, dengan 3.5 juta pelanggan, meningkat sebanyak 4.0% dalam Q4 2020 berbanding Q4 2019

Maxis Berhad (Maxis) mengumumkan prestasi Q4 tahun 2020 yang berdaya tahan dengan mencatatkan Hasil Perkhidmatan yang stabil dan EBITDA yang dinormalisasi yang sihat, di samping mengekalkan margin EBITDA yang tinggi.

Memperkukuhkan kepemimpinannya dalam penyelesaian konvergen, prestasi syarikat Q4 2020 didorong oleh pertumbuhan yang sihat dalam perniagaan mudah alih teras, perusahaan dan fiber.

Maxis terus menerajui segmen pascabayar, dengan pertumbuhan langganan suku demi suku. Bagi segmen fiber pula, syarikat berada pada momentum yang baik dengan pertumbuhan langganan dari keluarga dan perniagaan yang stabil.

Prestasi Maxis untuk suku keempat menunjukkan ketangkasan yang berterusan dalam
mengurangkan kesan COVID-19 dan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),
sambil memastikan pelanggan dan perniagaan terus bersalinghubung dalam masa yang
mencabar dengan mengekalkan infrastruktur rangkaian yang kuat.

Maxis juga mengekalkan komitmen untuk menyokong kesihatan dan ekonomi negara dengan beberapa inisiatif utama, bermula dengan usaha seluruh industri untuk memberikan penawaran percuma 1GB sehari supaya rakyat dan perniagaan tetap bersalinghubung di rumah.

1GB percuma ini juga disasarkan untuk pembelajaran dan produktiviti kerja. Di bawah kempen #KitaSapotKita, Maxis telah menyediakan penggunaan alat kolaborasi secara percuma untuk kesinambungan perniagaan, sokongan digitalisasi untuk PKS, perkhidmatan kesalinghubungan untuk barisan hadapan dan makanan dan bantuan PPE untuk komuniti yang terkesan.

Dalam Q4 ini juga, Maxis menjanjikan RM1 juta kepada GLC / GLIC Disaster Response Network (GDRN) untuk inisiatif berkaitan COVID-19.

Pandemik telah menyaksikan Maxis mengalami tekanan yang lebih tinggi terhadap pendapatan prabayar dan perayauan serta trafik yang lebih rendah ke kedainya, tetapi pada masa yang sama, menyaksikan permintaan yang lebih tinggi untuk kesalinghubungan berikutan keperluan kerja-dari-rumah dan digitalisasi perusahaan yang dipercepat.

Trafik data terus meningkat pada suku tersebut. Secara keseluruhan, pelanggan Maxis menggunakan purata 20.75GB sebulan, peningkatan 38.42% tahun ke tahun. Pada suku itu, Maxis melaburkan RM504 juta dalam kapasiti rangkaian untuk menyokong pertumbuhan trafik data, serta pelaburan dalam pertumbuhan fiber dan perusahaan, menjadikan jumlah pelaburan kapital menjadi RM1.25 bilion untuk tahun ini.

Untuk terus memperkuat liputan rangkaian 4Gnya dan memberikan pengalaman pelanggan
terbaik, Maxis telah membina tapak baru dan meningkatkan tapak sedia ada di Semenanjung dan Malaysia Timur, serta memperluas jejak fiber.

Dengan komitmen dalam pelancaran mudah alih dan tetap untuk Jalinan Digital Negara (JENDELA), Maxis terus memainkan peranan aktif dan penting dalam agenda nasional ini dan telah mencapai 100% daripada sasaran 2020 untuk JENDELA pada akhir Q4.

Berikutan pengumuman Kerajaan mengenai inisiatif MyDIGITAL dan Blueprint Ekonomi Digital Malaysia, yang merangkumi pelaksanaan 5G kepada rakyat Malaysia secara berperingkat menjelang akhir 2021, Maxis kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengumpul lebih banyak maklumat.

Usaha berterusan untuk memberikan pengalaman peribadi yang tidak dapat ditandingi telah menyaksikan Maxis secara konsisten mengekalkan tahap kepuasan pelanggan yang tinggi dengan Skor Promoter Touch Point-Net sebanyak +54 mata untuk tahun ini.

Maxis tetap komited untuk menyatukan teknologi terbaik untuk membantu rakyat, perniagaan dan negara untuk Terus Menerajui dalam dunia yang semakin berubah.

Gökhan Ogut, Ketua Pegawai Eksekutif, Maxis berkata, ketangkasan dalam memenuhi tuntutan suasana unik ini membolehkan kami untuk terus maju dalam menuju cita-cita konvergen kami.

“Di samping kekal optimistik dan juga beringat dalam menghadapi keadaan norma baru pada 2021, kami akan terus mengembangkan penyelesaian yang lebih inovatif selain mudah alih, sambil mewujudkan peluang baru untuk pertumbuhan perniagaan bagi seluruh industri.

“Sememangnya, ini merupakan tahun penuh ujian bagi semua, terutamanya bagi mereka yang terkesan dengan pandemik dan banjir.

“Kami berterima kasih dan menghargai semua pekerja barisan hadapan di seluruh negara atas pengorbanan tanpa lelah mereka; dari pekerja keselamatan, kesihatan dan pemulihan awam, kepada polis, tentera dan tenaga perubatan profesional, serta pekerja kami yang terus menyokong keperluan pelanggan kami,” katanya.