Pengerusi NGO Antarabangsa yang juga Penasihat NGO-NGO Malaysia, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman di pejabatnya di Putrajaya, semalam.
Antara perkara-perkara yang disentuh dalam pertemuan tersebut ialah isu kebajikan penjawat awam, kenaikan pangkat dan perjawatan khususnya ketika waktu pandemik COVID-19 ini.
Menurutnya, perkhidmatan yang lebih berintegriti, bebas rasuah perlu dipertingkatkan kepada semua penjawat awam supaya kita dapat memartabatkan perkhidmatan awam.

“Justeru, kerajaan perlu menimbang keperluan kenaikan pangkat, begitu juga penjawat awam yang mempunyai kelayakan yang tinggi seperti ijazah dan ijazah sarjana tetapi menjawat jawatan yang rendah seperti gred 19 dan 29 perlu diberi laluan kenaikan pangkat berdasarkan pengalaman dan kelayakan akademik yang mereka ada.
“Ini bagi memperkasakan perkhidmatan awam dan memartabatkan peranan mereka kepada negara,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khairul Adib berkata, adalah menjadi hasratnya untuk memperkasakan perkhidmatan awam dengan memberi penekanan kepada intergiti dan kebajikan mereka.
Beliau berkata, selain itu penjawatan perkhidmatan awam juga akan sentiasa dikaji bagi keperluan sesebuah kementerian dan jabatan.
“Oleh itu, penjawat awam mesti berintegriti, jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negara dengan memberikan tumpuan kepada kerja hakiki,” katanya.
Oleh itu semua penjawat awam mesti menjulang imej perkhidmatan awam sebagai nadi utama pentadbiran negara.
Mustapha yang juga bekas ahli panel temuduga dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam berkata, penjawat awam perlu menunjukkan komitmen yang tinggi kepada perkhidmatan supaya masyarakat merasai kesan perkhidmatan yang diberikan.
“Tambahan pula waktu pandemik ini ramai yang hilang pekerjaan sedangkan penjawat awam masih bertahan dan boleh mencurah bakti kepada masyarakat serta negara,” katanya lagi.



































