Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyambut baik penambahbaikan ke atas Bantuan Pembayaran Balik Bersasar yang diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semasa pembentangan Belanjawan 2021.

Langkah terbaharu ini membuka laluan kepada golongan terjejas, khususnya kumpulan B40, M40 dan perusahaan mikro, menangani kesulitan dialami dan memberi peluang kepada mereka untuk kembali pulih setelah berdepan cabaran yang berpunca daripada kejutan pandemik COVID-19.

Penambahbaikan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar kini meliputi individu kategori B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) / Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta perusahaan mikro yang memenuhi takrifan SME Corporation Malaysia dan mempunyai kemudahan pembiayaan dengan jumlah kelulusan sehingga RM150,000.

Pelanggan daripada kedua-dua kategori ini boleh memohon untuk menangguh bayaran ansuran bulanan pembiayaan mereka selama tiga (3) bulan atau mengurangkan 50% daripada komitmen bulanan untuk tempoh enam (6) bulan.

Pilihan ini disediakan untuk semua pembiayaan yang telah diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 yang tidak mempunyai sebarang tunggakan pembayaran lebih dari 90 hari pada masa permohonan.

Pelanggan B40 dan perusahaan mikro yang sebelum ini menerima sebarang bantuan bayaran balik bersasar, dan ingin memohon bantuan lanjutan di bawah langkah- langkah tambahan yang diumumkan pada Jumaat lalu masih boleh berbuat demikian dengan menghubungi pihak Bank Islam.

Turut ditawarkan, pengurangan pembayaran ansuran bulanan bagi kategori M40 yang berdaftar di dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan mengalami pengurangan pendapatan diri dan/atau pendapatan isi rumah disebabkan pandemik ini.

Pelanggan yang terkesan perlu membuat pengisytiharan kendiri berkenaan pengurangan pendapatan yang dialami bagi melayakkan mereka menerima kemudahan ini.

Bank Islam sedang memperhalusi proses terlibat bagi memastikan pelaksanaan cekap bantuan ini demi kemudahan para pelanggan. Maklumat lanjut berkenaan penambahbaikan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar akan dikemas kini di laman web dan platform media sosial Bank Islam tidak lama lagi.

Namun, pelanggan boleh mula memohon bantuan ini bermula dari 23 November 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, “Kami menyedari bahawa COVID-19 memberi impak yang berbeza kepada masyarakat dan menghubungi para pelanggan secara konsisten bagi memahami keperluan mereka dengan lebih baik.

Dari sudut ekonomi, penambahbaikan kepada bantuan bayaran balik bersasar ini memberi kesan positif terhadap keyakinan perniagaan dan pengguna. Ia jelas memperlihatkan bahawa institusi perbankan secara proaktif menangani kepayahan yang dihadapi pelanggan mereka.

“Sungguhpun Bank Islam sentiasa bersedia untuk membantu permohonan bantuan yang diterima, namun pelanggan harus sentiasa menilai kedudukan kewangan masing-masing. Kami menggesa para pelanggan untuk tampil mendapatkan sokongan yang diperlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed

Bank Islam akan terus membantu mereka membuat keputusan dan menyediakan pilihan kewangan terbaik bagi membantu mereka mengatasi cabaran yang dialami.”

“Kami turut mengalu-alukan langkah Kerajaan untuk mempertingkatkan peruntukan Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF) sebanyak RM110 juta dan memperluaskan pelaksanaan program iTEKAD iaitu satu kemudahan pembiayaan mikro yang memastikan penjanaan pendapatan mampan serta daya tahan kewangan perniagaan yang dimiliki golongan B40 dan asnaf dalam mendepani kesan pandemik COVID-19.

Ia merupakan satu perkembangan positif kerana iTEKAD merupakan salah satu daripada instrumen Kewangan Sosial Bank Islam dalam memastikan kesejahteraan sosio-ekonomi negara.

Dengan lebih banyak penglibatan institusi kewangan lain serta kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (“MAIN”) dan rakan pelaksana padatahun hadapan, kami percaya usaha ini akan memastikan strategi pemulihan ekonomi negara yang lebih menyeluruh dan pada masa sama meningkatkan taraf hidup penerima.

Menerusi pengalaman yang ada, Bank Islam sentiasa bersedia untuk menyokong dan mendorong perkembangan iTEKAD dalam merealisasikan manfaat ekonominya,” katanya.

Bank Islam telah diberi kepercayaan untuk menerajui program iTEKAD bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Program berkenaan telah berkembang dengan baik sejak dilancarkan pada Mei 2020. Kemudahan pembiayaan mikro ini memberi akses pembiayaan kepada peniaga/pengusaha kecil, sementara kemudahan Kewangan Sosial Islam seperti Zakat atau Sedekah dimanfaatkan untuk pembelian peralatan atau kelengkapan perniagaan yang diperlukan oleh penerima yang layak.

Program ini turut menggabungkan latihan keusahawanan dan pengurusan kewangan berstruktur bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran peserta.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web Bank Islam di www.bankislam.com; mengunjungi cawangan Bank Islam berdekatan atau menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di 03-26 900 900.