Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menjalin inisiatif bersama dengan matlamat dan meluaskan memacu pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan meluaskan ekosistem digital yang dapat
menyokong visi Malaysia untuk menjadi sebuah negara digital.

Ini termasuk memanfaatkan teras Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan pembangunan teknologi 5G.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi inisiatif tersebut dalam sebuah majlis diadakan di Ibu Pejabat Celcom, @celcom di Petaling Jaya.

MoU tersebut bakal membolehkan Celcom untuk melibatkan diri dengan rakan kongsi MDEC yang berkaitan dalam penyediaan produk, penyelesaian dan perkhidmatan daripada pelbagai segmen teknologi.

Celcom teruja untuk menjalinkan kerjasama tersebut sebagai platform untuknya
menambahbaik Pusat Kecemerlangan IoT dan 5G miliknya, serta meluaskan capaian kepada pelbagai industri dan pengguna dengan menyediakan penyelesaian Internet Pelbagai Benda (IoT), penyelesaian Bandar Pintar dan Kediaman Pintar, e-sukan, kesalinghubungan, kandungan digital, keselamatan siber dan lain-lain.

Fokus MoU tersebut juga meliputi pembangunan kemahiran digital perniagaan bagi segmen tersebut.

Oleh itu Celcom dan MDEC akan bekerjasama untuk memacu pendigitalan perniagaan bagi
perusahaan kecil dan sederhana tempatan (PKS) dan juga perniagaan permulaan. Ini meliputi latihan dan pembangunan kemahiran keusahawanan digital bagi para usahawan, dalam membantu mereka membina dan mempertingkatkan perniagaan dalam ekonomi digital.

Selain itu, PKS dan perniagaan permulaan ini juga dapat memanfaatkan penyelesaian digital Celcom yang disediakan khusus untuk perniagaan, seperti Business Suite for Retail™.

Celcom juga memahami bahawa dalam usaha meletakkan kedudukannya dalam ekonomi digital, ia perlu membina asas yang kukuh daripada dalam organisasinya sendiri. Justeru itu MoU tersebut turut meliputi pembangunan kecekapan digital di kalangan pekerjanya melalui program pembelajaran oleh MDEC.

Inisiatif ini akan membolehkan Celcom mengenalpasti kemahiran dan kecekapan yang
diperlukan untuk memperkasa tenaga kerjanya dengan pengetahuan teknologi masa depan dan kemahiran pekerjaan, menguruskan perniagaan baru, serta menguruskan dan memimpin tenaga kerja digital, yang selari dengan cita-cita Celcom dalam mendukung IR4.0 dan teknologi 5G.

Idham Nawawi berkata, dalam perjalanan untuk menjadi pemangkin sebuah ekosistem digital yang mampan, Celcom perlu bekerjasama dengan organisasi yang mempunyai matlamat yang sama.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan MDEC, iaitu sebuh organisai pemacu ekonomi digital yang utama di Malaysia,” katanya.