Sebanyak 30 kampung membabitkan beberapa province atau negeri di Kemboja telah dibantu oleh NGO Antarabangsa sepanjang Ramadan pada tahun ini.
Pengerusi NGO Antarabangsa, Dato’ Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, antara kampung yang terlibat termasuk di Kracheh, Cho Minit dan Mondokiri melibatkan hampir 1,000 orang fakir miskin, mualaf dan anak-anak yatim.
“Perjalanan yang panjang dalam cuaca panas berdebu tidak mematahkan semangat NGO Antarabangsa turun membantu masyarakat yang terkesan begitulah hampir setiap tahun pada bulan Ramadan.
“Kami sentiasa turun walaupun kadang kala kekurangan peruntukan namun kami sentiasa berusaha untuk membantu mereka yang amat terkesan disebabkan oleh faktor kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan penduduk Islam yang tinggal di kawasan pedalaman di Kemboja bergantung hidup kepada mengambil upah, menjual hasil pertanian secara kecil-kecilan, menoreh getah dan melakukan kerja-kerja kampung.
Dr Mustapha yang terbabit dalam kerja-kerja sukarelawan lebih 10 tahun menghadapi pelbagai cabaran selama hampir dua minggu menempuh perjalanan ke kampung pedalaman termasuk bermalam di rumah orang kampung dan masjid.
Katanya, ini kerana kawasan kampung yang dilawati tidak mempunyai kemudahan tempat tinggal termasuk elektrik dan bergantung sepenuhnya kepada ihsan penduduk kampung.
Sepanjang berada di Kemboja, NGO Antarabangsa pada tahun ini turut meraikan 50 anak-anak yatim di Kg Sempadan Kemboja-Vietnam dan menyampaikan bungkusan makanan berbuka puasa kepada fakir miskin di beberapa kampung.
“Semua ini dapat dilaksanakan dengan kerjasama penduduk kampung yang bergotong-royong memasak makanan untuk majlis berbuka puasa di masjid,” katanya.

































