Pencipta kelayakan/pensijilan Penggodam Beretika Bertauliah (CEH) yang diitiraf dunia serta peneraju global dalam pendidikan dan latihan keselamatan siber gunaan, EC-Council, melancarkan Enterprise AI Credential Suite, yang memperkenalkan empat pensijilan AI baharu berasaskan peranan bersama Certified CISO, iaitu program kepimpinan keselamatan siber peringkat eksekutif yang telah diperkemas.
Pelancaran serentak ini merupakan pengembangan terbesar portfolio EC-Council dalam sejarah 25 tahunnya. Ia berasaskan satu realiti yang jelas: teknologi AI berkembang lebih pantas berbanding tenaga kerja yang dilatih untuk mengendalikan, melindungi dan mentadbir sistem tersebut.
Momentum Malaysia dalam pembangunan AI turut menunjukkan peningkatan ketara. Dengan penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) pada penghujung 2024 bagi menyelaras dasar, inovasi dan pembangunan bakat AI, Malaysia telah memperjelas hala tuju nasionalnya — keupayaan AI perlu dilaksanakan secara menyeluruh merentas sektor kerajaan dan industri.
Apabila AI beralih daripada projek perintis kepada penggunaan dalam operasi harian, permintaan terhadap laluan latihan yang tersusun dan berasaskan peranan semakin meningkat. Organisasi memerlukan tenaga kerja yang mampu mengguna pakai AI secara bertanggungjawab, memperkukuh keselamatan sistem serta memastikan tadbir urus yang jelas apabila penggunaan diperluaskan pada skala besar.
Usaha ini turut selari dengan agenda transformasi digital negara. Di bawah Pelan Tindakan MyDIGITAL, ekonomi digital kini menyumbang lebih 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus menegaskan peranan penting AI dan teknologi termaju dalam menyokong daya saing serta pertumbuhan Malaysia.
Di Malaysia, penggunaan AI berkembang pesat dalam sektor kewangan, pembuatan, perkhidmatan serta inisiatif kerajaan digital. Perkembangan ini mewujudkan keperluan segera terhadap profesional yang mampu menggunakan AI secara bertanggungjawab, mengurus program AI dengan berdisiplin, melindungi sistem AI daripada ancaman baharu serta melaksanakan tadbir urus yang berkesan dalam persekitaran operasi sebenar.
Bagi kebanyakan organisasi, kekangan utama bukan lagi minat terhadap AI. Sebaliknya, cabaran utama ialah membina keupayaan tenaga kerja yang benar-benar bersedia untuk melaksanakan AI secara selamat, mempertahankannya daripada risiko serta mengekalkan akauntabiliti apabila penggunaannya diperluaskan.
“Halatuju AI Malaysia jelas dan langkah seterusnya ialah membina keupayaan pada skala besar,” kata Presiden Kumpulan EC-Council, Jay Bavisi.
“Portfolio ini dibangunkan bagi membantu profesional memperoleh kemahiran praktikal dalam aspek penggunaan, perlindungan dan tadbir urus supaya organisasi dapat memperluaskan AI dengan yakin serta bertanggungjawab.”
Pensijilan Selaras dengan Keperluan Peranan
Enterprise AI Credential Suite distrukturkan untuk mencerminkan bagaimana keupayaan AI dibangunkan dalam amalan sebenar organisasi.
Artificial Intelligence Essentials (AIE) berfungsi sebagai asas dengan membina kefahaman praktikal mengenai AI dan penggunaannya secara bertanggungjawab merentas pelbagai peranan. Program ini disokong oleh rangka kerja proprietari EC-Council iaitu Adopt. Defend. Govern. (ADG), yang mentakrifkan bagaimana AI perlu dilaksanakan dan diurus secara sistematik pada skala besar dalam persekitaran sebenar.
Adopt (Terima Pakai) – Menyediakan pasukan untuk melaksanakan AI secara terancang dengan tahap kesiapsiagaan dan perlindungan yang sesuai.
Defend (Pertahan) – Melindungi sistem AI daripada risiko baharu termasuk prompt injection, keracunan data, eksploitasi model dan kompromi rantaian bekalan AI.
Govern (Tadbir) – Mengintegrasikan akauntabiliti, pemantauan dan pengurusan risiko dalam sistem AI sejak peringkat awal pelaksanaannya.
Sejajar dengan struktur ini, empat pensijilan baharu diperkenalkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sepanjang kitaran hayat AI:
- Artificial Intelligence Essentials (AIE) – Membina literasi dan pemahaman asas mengenai AI.
- Certified AI Program Manager (CAIPM) – Melengkapkan profesional untuk menterjemah strategi AI kepada pelaksanaan dengan menyelaraskan pasukan, tadbir urus dan penyampaian bagi memacu pulangan pelaburan (ROI) yang boleh diukur serta kecerdasan pada skala perusahaan.
- Certified Offensive AI Security Professional (COASP) – Membina keupayaan untuk menguji kelemahan dalam model bahasa besar (LLM), mensimulasikan eksploitasi serta mengukuhkan infrastruktur AI bagi melindungi organisasi daripada ancaman baharu.
- Certified Responsible AI Governance & Ethics Professional (CRAGE) – Memberi tumpuan kepada AI Bertanggungjawab, tadbir urus dan etika pada skala perusahaan selaras dengan pematuhan piawaian antarabangsa seperti NIST dan ISO.
Seiring dengan pengenalan pensijilan AI baharu ini, Certified CISO v4 turut dikemas kini bagi memperkukuh pendidikan kepimpinan keselamatan siber dalam persekitaran risiko yang dipacu AI. Program ini meningkatkan kesiapsiagaan pemimpin apabila sistem pintar menjadi sebahagian daripada operasi teras perniagaan dan proses membuat keputusan keselamatan.
“Pemimpin keselamatan kini bertanggungjawab terhadap sistem yang mampu belajar, menyesuaikan diri dan mempengaruhi hasil dengan pantas.”
“Certified CISO v4 membantu mereka mengurus risiko dipacu AI dengan jelas, memperkukuh tadbir urus dan membuat keputusan yang tepat apabila akauntabiliti menjadi keutamaan.” tambah Bavisi.
Portfolio ini turut membina asas kepada kerjasama berterusan EC-Council dengan organisasi kerajaan dan pertahanan, termasuk pengiktirafan pensijilan asas DoD 8140 sedia ada, ketika keselamatan AI dan kesiapsiagaan tenaga kerja semakin menjadi kepentingan nasional.
Untuk meneroka rangkaian penuh latihan dan pensijilan yang ditawarkan, layari perpustakaan Kursus AI EC-Council.



































