Balai Seni Negara kini sedang menganjurkan Pameran Spatial Creative – Ceramic Zone (SCCZ) bermula 28 November 2025 hingga 30 April 2026 di Aras 1, Balai Seni Negara.

Pameran ini menampilkan sebanyak 39 karya seramik merangkumi seni seramik artistik, pottery, tableware dan arca yang menggambarkan kepelbagaian teknik, kreativiti serta pendekatan artistik para seniman.

Menariknya, karya-karya yang dipamerkan ini merupakan hasil daripada Program Residensi Spatial Creative – Ceramic Zone (SCCZ) yang telah dilaksanakan pada 22 hingga 30 Oktober 2025.

Program residensi jangka pendek ini menghimpunkan 10 seniman seni visual daripada pelbagai latar belakang untuk meneroka potensi seni seramik kontemporari di Malaysia. Antara seniman yang terlibat ialah Amy Nazira, Sabri Idrus, Saiful Razman, S. Amin Shahab, Bone Alfie, Shafiq Nordin, Amer01, Khairul Izzuddin, Kenji Chai dan Tan Kai Sheuan.

Program residensi SCCZ dirangka sebagai platform intensif yang memberi peluang kepada para seniman untuk berkarya secara langsung di studio profesional, di bawah bimbingan artis dan pakar seramik berpengalaman.

Residensi ini diadakan di tiga lokasi utama pembuatan seramik, iaitu BK Art Studio di Kuala Kangsar, Perak, Ilham Ceramic Studio di Langkawi, Kedah, dan Sari Chempaka Art Village di Karak, Pahang, hasil daripada kerjasama strategik antara Balai Seni Negara dan studio-studio seramik tempatan.

Melalui pendekatan praktikal dan dialog kritikal, para seniman telah menghasilkan karya baharu, sambil memperkukuh pemahaman mereka tentang hubungan antara bentuk, fungsi dan ruang dalam rekaan seramik.

Selain meningkatkan kemahiran teknikal, program ini turut memperluas jaringan antara seniman pelbagai generasi serta komuniti seramik tempatan, sekali gus membuka ruang kepada kolaborasi dan pertukaran idea secara berterusan.

Inisiatif ini diharapkan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekosistem seni seramik di Malaysia serta mengangkat seni seramik sebagai cabang penting dalam lanskap seni kontemporari negara.

Orang ramai dijemput untuk menyaksikan keunikan karya-karya seramik yang dipamerkan secara eksklusif dalam pameran ini. Selain itu, “Pameran Asal Tanah” turut dibuka kepada orang ramai sebagai pameran sokongan sempena program residensi SCCZ, di Galeri 2B bermula 5 Disember 2025 hingga 30 April 2026.

Pameran ini menampilkan kira-kira 83 karya yang dihasilkan oleh seniman jemputan dan Koleksi Balai Seni Negara. Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini