Darulaman Sanctuary Sdn. Bhd., anak syarikat penuh Bina Darulaman Berhad (BDB), terus memperkukuh peranan masyarakat dalam pemuliharaan hutan melalui Program Komuniti dan Penanaman Pokok yang berlangsung pada Sabtu, 29 November 2025 bertempat di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, Langkawi
Program komuniti yang dinamakan Mini Temasya di Darulaman Sanctuary itu menekankan penglibatan aktif masyarakat sebagai teras utama dalam melindungi dan memulihkan ekosistem hutan, sejajar dengan Program Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) yang dianugerahkan oleh Malaysia Forest Fund (MFF).
Sebagai entiti pertama di Malaysia yang menerima pensijilan FCC, Darulaman Sanctuary bertanggungjawab melaksanakan konservasi secara inklusif dan menyeluruh.
FCC menekankan bahawa kelestarian hutan bukan sahaja bergantung pada kaedah teknikal, tetapi turut memerlukan penglibatan masyarakat dalam pendidikan, budaya dan kesedaran biodiversiti. Ini selaras dengan komponen sosial dan pendidikan FCC yang memberi penekanan hubungan antara komuniti dengan pemuliharaan hutan.
Inisiatif ini menunjukkan komitmen Darulaman Sanctuary dalam memperkukuh peranan masyarakat sebagai rakan strategik pemuliharaan hutan. Sokongan berterusan komuniti, industri dan agensi kerajaan memastikan kesinambungan konservasi yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan generasi akan datang.
Program tersebut menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan warisan, seni dan pendidikan alam sekitar. Antara pengisian utama termasuk pameran Keris Kedah Langkasuka, Keris Kedah, Keris Pattani dan Keris Nusantara, serta pameran Busana Melayu Tradisional. Program ini turut menampilkan pameran Nature & Art Harmony, aktiviti Survival Kids Adventure, demonstrasi teknik dan etika pemakaian sampin, pasar seni dan makanan komuniti, selain persembahan muzik dan silat.
Turut hadir pada program tersebut adalah wakil daripada FRIM Incorporated Sdn. Bhd., Tourim Malaysia (Langkawi) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Untuk rekod, program ini meneruskan usaha yang dimulakan pada Jun 2025 di mana inisiatif pemuliharaan hutan telah dimulakan dengan menanam 300 anak pokok di Darulaman Sanctuary.
Inisiatif tersebut mendapat sokongan daripada Bytedance dengan dana sebanyak RM176,380.00, sebagai permulaan kepada pelan jangka panjang pemuliharaan hutan di Darulaman Sanctuary.


































