Filem Tenement dari Kemboja mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai Filem Terbaik di ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA) 2025, menewaskan tujuh pencalonan kuat dari seluruh ASEAN pada Malam Gala yang berlangsung megah di Colosseum Ballroom, Hotel Pullman Kuching malam ini.
Tahun ini menyaksikan AIFFA menerima 200 penyertaan — jumlah tertinggi sejak festival ini diadakan — sekali gus membuktikan pengaruhnya yang semakin kukuh sebagai platform perfileman utama rantau ASEAN.
Tenement, sebuah karya seram yang diadaptasi daripada sebuah novel popular, berjaya memikat panel juri dengan penceritaan gelap dan nuansa misterinya, menjadikannya antara naskhah paling menonjol dalam edisi kali ini.
Kemenangan itu sekali gus menewaskan filem-filem lain yang turut disebut-sebut sebagai pilihan utama, termasuk Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam), Some Nights I Feel Like Walking (Filipina), Abang Adik (Malaysia), The Gospel of the Beast (Filipina), Crocodile Tears (Indonesia) dan Home Sweet Loan (Indonesia).
Dalam kategori Pengarah Terbaik (Best Director), kemenangan menjadi milik Pham Thien An dari Vietnam menerusi filem Inside the Yellow Cocoon Shell.
Sentuhan arahannya yang halus dan penuh simbolisme melayakkan beliau meraih trofi berprestij tersebut.
Kategori Lakon Layar Terbaik (Best Screenplay) pula dimenangi filem The Gospel of the Beast dari Filipina, yang memikat juri melalui naratif yang kuat dan penceritaan mendalam.
Filem Vietnam, Inside the Yellow Cocoon Shell, sekali lagi menyerlah apabila turut merangkul Penyuntingan Terbaik (Best Film Editing). Daripada segi visual pula, filem Filipina Some Nights I Feel Like Walking diumumkan sebagai pemenang Sinematografi Terbaik (Best Cinematography) hasil olahan visual yang memukau dan sinematografi yang penuh mood.
AIFFA 2025 juga menganugerahkan dua Special Jury Award kepada karya yang menampilkan kekuatan tema dan penceritaan tersendiri — masing-masing diberikan kepada Tegkang dari Malaysia dan Waiters dari Brunei.

Dalam kategori lakonan, Malaysia terus bersinar apabila Sweet Qismina diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Best Supporting Actress) menerusi lakonannya dalam filem Babah. Untuk kategori lelaki, Ronnie Lazaro dari Filipina dipilih sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Best Supporting Actor) melalui filem The Gospel of the Beast.
Kategori Pelakon Wanita Terbaik (Best Actress) pula menyaksikan kemenangan Yunita Siregar dari Indonesia melalui persembahannya dalam Home Sweet Loan.
Sementara itu, kategori Pelakon Lelaki Terbaik (Best Actor) mencatat sejarah apabila dua pemenang diumumkan serentak — Wu Kang-Ren dari Malaysia menerusi Abang Adik, dan Jomari Angeles dari Filipina melalui Some Nights I Feel Like Walking.
Pengiktirafan Anugerah Inspirasi ASEAN diberikan kepada MButik (Indonesia), sebagai penghargaan kepada usaha kreatif yang memperkasa identiti budaya serta semangat serantau dalam karya mereka.
AIFFA 2025 turut meraikan dua tokoh besar dunia perfileman melalui Anugerah Sepanjang Zaman, yang disampaikan kepada Pengarah tersohor Filipina, Lav Diaz manakala anugerah Inspirasi ASEAN diberikan kepada Pelakon Lagenda Hong Kong, Simon Yam.
Turut hadir pada malam penuh gemilang itu ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Pengarah Festival AIFFA, Livan Tajang dan Pengarah Eksekutif AIFFA, Jaffri Amin Osman.





































