Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional,
secara rasmi melancarkan Minggu Setem 2025 hari ini dengan tema ‘Animasi Klasik’, meraikan siri animasi kesayangan Malaysia dari era 1990-an termasuk Keluang Man, Anak-anak Sidek, Yokies, dan Hikayat Sang Kancil.

Pelancaran diadakan di Pusat Pembangunan Pos Code (PosCODE) Bangi ini telah dirasmikan
oleh Fiona Liao, Ketua Pegawai Pemasaran, Komunikasi & Kemampanan Kumpulan Pos
Malaysia. Majlis ini turut menandakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kelab Setem & Filateli (KESEF) Peringkat Kebangsaan, meraikan kejayaan penutupan Siri Eksplorasi KESEF di seluruh negara yang telah mencapai hampir 43,000 ahli di lebih 500 buah sekolah.

“Melalui keluaran setem istimewa ini, Pos Malaysia bukan sahaja meraikan keunikan seni dan kreativiti tempatan, tetapi juga memberi penghormatan kepada penerbit, pelukis, dan penggiat industri yang telah mencipta karya yang dekat di hati rakyat Malaysia,” kata Fiona Liao.

Koleksi Setem ‘Animasi Klasik’ ini dijual sebagai set folder berharga RM71.50, yang merangkumi:
• 4 helaian setem (menampilkan kesemua 4 reka bentuk animasi)
• 1 lembaian miniatur
• 1 sampul hari pertama
• 1 folder

Dihasilkan melalui kerjasama dengan FINAS (Hikayat Sang Kancil), Iconic Animation Studio Sdn Bhd (Yokies & Keluang Man), dan YBhg. Datuk (Dr.) Hj Mohmed Misbun Dato’ Haji Sidek (Anak-anak Sidek), koleksi ini mempamerkan animasi ikonik Malaysia yang telah menemani berbilang generasi.

Koleksi ini boleh didapati di semua Biro Filateli Pos Malaysia, pejabat pos seluruh negara dan dalam talian di https://shop.pos.com.my sementara stok masih ada.

Di majlis pelancaran, kami turut berbangga untuk meraikan para pemenang pertandingan reka bentuk nota kreatif dan seni doodle, yang menerima penyertaan daripada murid Tahap 1 sekolah rendah hingga ke pelajar Tingkatan 6.

Selain itu, kategori Pameran Satu Halaman, dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), turut menyerlahkan bakat para pelajar dalam penceritaan dan penyampaian. Para hadirin juga menikmati pelbagai aktiviti termasuk pameran setem, pertandingan mewarna
dan melukis reka bentuk setem seni coret (doodle), sesi eksplorasi filateli, jualan setem, serta bengkel pamer sehalaman dan folio setem.

Di Pos Malaysia, kami bersemangat dalam membina kepercayaan untuk menghubungkan
kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang. Melalui inisiatif seperti Minggu Setem dan KESEF, kami memupuk penghargaan generasi muda Malaysia terhadap warisan budaya negara sambil memberi inspirasi kepada generasi akan datang sebagai pengumpul, pencerita, dan pembina negara.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini