Pelakon legenda Hong Kong, Simon Yam, menyatakan persediaan untuk berlakon di negara ini khususnya di Kuching, Sarawak jika diberi peluang kerana Malaysia memiliki banyak keistimewaan meliputi kepelbagaian budaya dan kaum.
“Saya bersedia untuk berlakon di negara ini jika diberi peluang. Ini bukan kali pertama saya datang di Kuching, Sarawak
“Saya pernah datang ke sini 30 tahun lalu dan pernah berkunjung ke rumah panjang serta seronok dapat kembali ke sini lagi,” katanya ketika ditemui media pada sidang media khas yang diadakan di atas bot Royal Kuching Cruise di sini, petang tadi.
Terdahulu, pelakon itu tiba di Kuching Waterfront kira-kira jam 2.40 petang disambut oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dibawa menaiki bot yang menyusuri Sungai Sarawak sebelum menemui peminat yang setia menunggu di tebing sungai yang popular dikalangan penduduk Sarawak.
Pada sesi bertemu peminat, aktor yang lahir pada 19 Mac 1955 itu turut menyampaikan ucapan dan bergambar bersama kira-kira 300 peminat selain menghadiahkan baju-T kepada peminat yang bertuah.
Aktor berusia 70 tahun itu tiba di Kuching pada Khamis lalu bagi menghadiri Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 yang berlangsung dari 12 hingga 15 November ini di bandar raya Kuching.
Acara kemuncak Malam Gala AIFFA 2025 berlangsung pada malam ini di mana penulis lagu dan penyanyi popular, Datuk M Nasir dan penyanyi Indonesia, Ruth Sahanaya dijangka memeriahkan acara yang diadakan di Colosseum Hall, Pullman.
AIFFA 2025 merupakan acara dwi tahunan dan pada kali ini menampilkan lebih 200 filem daripada negara-negara ASEAN termasuk dua kategori baharu, iaitu ASEAN University Award untuk filem pendek pelajar universiti dan Borneo Documentary Award khusus bagi dokumentari yang dihasilkan di Borneo.


































