
Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, mengumumkan pelantikan Shahrin Oli Mohamed sebagai Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan (CTO) baharu berkuat kuasa pada 20 Oktober 2025.
Dalam peranan ini, Shahrin akan bertanggungjawab menerajui strategi teknologi keseluruhan syarikat, memacu inovasi digital, serta mempercepatkan pemodenan infrastruktur IT teras Pos Malaysia.
Pelantikan beliau merupakan langkah penting dalam memperkukuh kedudukan syarikat sebagai peneraju logistik dan e-dagang. Beliau akan melapor terus kepada Charles
Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.
Shahrin membawa lebih 20 tahun pengalaman luas di peringkat antarabangsa dalam
kepimpinan teknologi, transformasi digital, dan pengurusan IT merentasi pelbagai industri termasuk tenaga dan penyelesaian armada.
Beliau menyertai Pos Malaysia dari Gartner Gulf, di mana beliau berkhidmat sebagai Rakan Eksekutif, memberi nasihat strategik kepada lembaga pengarah dan eksekutif C-suite di rantau MENA, Afrika, dan India.
Di Gartner Gulf, beliau mengetuai pelbagai inisiatif transformasi dalam strategi digital, data & analitik, inovasi, dan teknologi merentas pelbagai sektor.
Kepakaran beliau akan menjadi aset penting dalam memperkukuh keupayaan teknologi Pos Malaysia, dengan fokus kepada bidang utama seperti merangka pelan hala tuju agentic AI, mengautomasikan operasi, mengoptimumkan penyelesaian penghantaran jarak terakhir, meningkatkan pengalaman pelanggan melalui platform digital, serta memperkukuh langkah-langkah keselamatan siber.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, pihaknya amat berbesar hati mengalu-alukan Shahrin ke dalam pasukan kepimpinan.
“Rekod pencapaian beliau dalam memacu kecemerlangan teknologi dan pertumbuhan digital amat selaras dengan visi strategik kami untuk memperkukuh operasi syarikat serta memberikan nilai yang lebih tinggi kepada pelanggan.
“Seiring dengan perubahan landskap logistik, kepimpinan Shahrin akan menjadi faktor penting dalam memanfaatkan teknologi untuk menjadikan Pos Malaysia lebih tangkas, cekap, dan inovatif,” katanya.
Sementara itu, Shahrin berkata, dia amat berbesar hati dan teruja untuk menyertai Pos Malaysia, sebuah institusi dengan sejarah yang begitu kaya serta berperanan penting dalam menghubungkan rakyat Malaysia.
“Peluang untuk memimpin transformasi teknologi sebuah ikon nasional adalah satu cabaran besar dan pada masa yang sama merupakan satu penghormatan. Saya menantikan peluang bekerjasama dengan pasukan berbakat di sini untuk membangunkan penyelesaian teknologi yang kukuh dan berskala, yang bukan sahaja memperkemaskan operasi kami malah mewujudkan pengalaman pelanggan yang lancar dan menggembirakan dalam era digital ini.”
Shahrin berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Manchester dan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia.
Beliau menggantikan Sumesh Rahavendra, yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Digital & Transformasi Kumpulan di Pos Malaysia.