Samsung terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran fon telinga nirwayar (TWS) dengan pelancaran Galaxy Buds3 FE. Model ini dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada harga RM499, meletakkannya sebagai alternatif yang lebih mampu milik berbanding Galaxy Buds3 Pro.
Buds3 FE hadir untuk mereka yang mahukan ciri utama daripada model Pro tetapi tidak mahu membelanjakan lebih RM700 hanya untuk fon telinga.
Sekilas pandang, daripada segi luaran dan mata kasar, peranti ini mempunyai reka bentuk hampir serupa dengan Buds3 Pro, lengkap dengan tangkai yang memanjang ke bawah.
Cuma perbezaan ketara ialah ketiadaan lampu LED pada bahagian tangkai, menjadikannya kelihatan lebih minimalis dan kemas. Reka bentuk ergonomik dengan putik silikon memastikan ia selesa dipakai walaupun untuk sesi mendengar muzik yang panjang.
Pengasingan bunyi pasif yang baik juga membantu mengurangkan kebocoran audio. Bagi mereka yang gemar bersenam atau aktif di luar, Buds3 FE hadir dengan penarafan IP54 yang melindunginya daripada percikan air dan habuk.
Ia bukan sahaja sesuai untuk aktiviti seperti berjoging atau bersenam di gim, malah mampu bertahan dalam cuaca hujan renyai tanpa masalah.
CIRI ANC, AUDIO BERKUALITI
Tarikan terbesar Buds3 FE ialah sokongan Active Noise Cancellation (ANC) yang kini semakin menjadi ciri wajib pada TWS moden. Samsung tidak mengurangkan kualiti ANC walaupun ini adalah model Fan Edition.
Dalam ujian ringkas, ANC pada Buds3 FE cukup berkesan mengurangkan bunyi enjin bas, bising trafik dan bunyi orang bercakap di kafe. Ini menjadikan ia pilihan ideal untuk mereka yang sering menggunakan pengangkutan awam atau bekerja dalam persekitaran bising.
Selain ANC, terdapat juga mod Ambient Sound yang membenarkan pengguna mendengar bunyi persekitaran tanpa perlu menanggalkan fon telinga. Ini amat berguna ketika melintas jalan atau berbual ringkas dengan seseorang. Samsung memberikan kebebasan kepada pengguna untuk melaras tahap Ambient Sound mengikut keselesaan.
Daripada segi perkakasan, setiap putik Buds3 FE dilengkapi dengan satu pemandu audio dan tiga mikrofon. Gabungan ini membolehkan ia menghasilkan bunyi seimbang dengan bass yang memuaskan serta menangkap suara dengan jelas semasa panggilan.
Peranti Samsung ini juga mampu menganalisis bunyi sekitar dan memfokuskan pada suara pengguna. Ini mengurangkan gangguan bunyi luar dan menjadikan kualiti panggilan lebih jelas walaupun berada di lokasi bising.
SAMBUNGAN DAN KAWALAN AUDIO
Buds3 FE menyokong Bluetooth 5.4 bersama codec SSC (Samsung Seamless Codec), AAC, dan SBC, memastikan kualiti audio stabil dengan latensi yang rendah. Bagi pengguna ekosistem Samsung, ciri Auto Switch membolehkan audio bertukar automatik antara telefon pintar, tablet atau jam tangan Galaxy. Ini memudahkan pengguna yang sering beralih antara peranti.
Kawalan audio pula dilakukan melalui sensor sentuhan dan tekanan pada tangkai. Dengan Pinch Control, pengguna boleh memainkan, menjeda, melangkau lagu, malah melaras kelantangan tanpa perlu mengeluarkan telefon daripada poket.
Kawalan ini responsif dan boleh dilakukan dengan hanya satu tangan – sesuai ketika sedang memegang beg atau berbasikal.
INTEGRASI DENGAN GOOGLE GEMINI
Antara kelebihan menarik yang membezakan Buds3 FE daripada pesaing lain ialah integrasi dengan Google Gemini. Dengan hanya mengucapkan arahan “Hey Google”, pengguna boleh mendapatkan jawapan pantas, menetapkan peringatan, membuka aplikasi, atau mencatat nota – semuanya terus dari Galaxy Buds3 FE.
Apa yang menarik dengan fungsi ini mampu mengubah fon telinga ini menjadi pembantu maya mini, memudahkan pengguna yang sibuk atau sentiasa aktif bergerak.
PRESTASI 360 AUDIO
Bercakap tentang kualiti bunyi, Buds3 FE menawarkan pengalaman mendengar yang mantap untuk segmennya. Pemandu audio yang lebih besar memastikan bunyi bass kedengaran padat tetapi tidak menenggelamkan vokal. Treble dan mid-range seimbang, menjadikan ia sesuai untuk muzik pop, rock mahupun podcast.
Tambahan pula, ciri 360 Audio memberikan pengalaman audio spatial yang mengasyikkan. Ia seakan-akan membawa pengguna ke dalam suasana panggung wayang mini, dengan bunyi yang datang daripada pelbagai arah. Ini menjadikan menonton filem atau bermain permainan video lebih menarik, terutamanya bagi mereka yang menggunakan peranti Samsung yang menyokong ciri ini.
BATERI TAHAN LAMA
Bateri pada Buds3 FE juga tidak mengecewakan. Dengan bateri 53 mAh pada setiap putik, ia mampu bertahan 6 jam dengan ANC diaktifkan dan 8 jam tanpa ANC. Pod pengecas berkapasiti 515 mAh pula memberikan hayat penggunaan sehingga 24 jam dengan ANC atau 30 jam tanpa ANC.
Sokongan pengecasan pantas membolehkan pengguna mendapat hampir satu jam masa mendengar hanya dengan pengecasan beberapa minit – sangat membantu ketika tergesa-gesa keluar rumah.
KESIMPULAN
Secara keseluruhan, Samsung Galaxy Buds3 FE menawarkan pakej lengkap bagi mereka yang mahukan fon telinga TWS dengan ANC, kualiti bunyi yang baik, ketahanan bateri lama dan integrasi AI pintar – pada harga yang tidak terlalu membebankan. Pada RM499, ia sukar ditandingi oleh pesaing lain yang menawarkan set ciri serupa.
Jika anda pengguna ekosistem Samsung atau seseorang yang mahukan pengalaman audio moden dengan kawalan pintar, Buds3 FE adalah pilihan yang sangat berbaloi. Ia membawa hampir semua kelebihan Buds3 Pro tetapi dalam pakej lebih mesra dompet.
SPESIFIKASI BUDS3 FE
- Bluetooth Version: Bluetooth v5.4
- Berat fon telinga: 5 gram
- Sensor: Hall, Pressure, Proximity and Touch Sensor
- Saiz fon telinga: Tinggi 21.1 mm x 18.0 mm x 33.8 mm
- Saiz Kotak: Tinggi 48.7 mm x 58.9 mm x 24.4 mm
- Berat kotak: 41.8 gram
- Ketahanan: IP54
- Bateri: 53 mAh
- Warna: Black, Gray
- Harga: RM499