Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan lawatan penanda aras daripada Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta memperkasa amalan terbaik dalam bidang komunikasi korporat universiti awam.
Delegasi USIM seramai enam kakitangannya diketuai oleh Pengarah Pusat Komunikasi
Strategik USIM, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Kasmani, disambut mesra oleh Pengarah,
Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril bersama-sama barisan pegawai dan kakitangan unit berkaitan.
Prof. Dr. Mohd Izwan berkata, lawatan seperti ini mencerminkan semangat kolaboratif antara universiti awam dalam memperkukuh sistem penyampaian maklumat serta
memperkasakan peranan komunikasi strategik sebagai jantung kepada reputasi institusi.
Menurutnya, lawatan tersebut bertujuan untuk berkongsi maklumat dan bertukar pandangan mengenai pengurusan komunikasi strategik, pengendalian media sosial rasmi universiti, pengurusan krisis reputasi, pembangunan bahan media serta pendekatan membina keterlihatan jenama universiti secara lebih efektif kepada khalayak sasaran.
“Lawatan ini memberi ruang untuk kita menilai kembali pendekatan komunikasi yang digunakan, selain membuka peluang untuk meneroka inisiatif bersama dalam bidang pengurusan media, penerbitan kandungan kreatif serta penyelarasan komunikasi krisis,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya pengurusan komunikasi yang cekap dan berkesan,
khususnya dalam menyampaikan naratif universiti kepada masyarakat dan pihak
berkepentingan.
“Hari ini, universiti bukan sahaja perlu menonjolkan pencapaian akademik dan penyelidikan, tetapi juga perlu bijak mengurus persepsi melalui strategi komunikasi yang relevan dengan kehendak semasa. Justeru, hubungan strategik antara UPSI dan USIM ini amat signifikan dalam memperkasa jenama institusi masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal menzahirkan penghargaan terhadap
kesediaan UPSI menerima lawatan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu peluang besar untuk memahami secara lebih dekat operasi komunikasi korporat di universiti yang memiliki keunikan tersendiri.
“UPSI mempunyai pendekatan yang sistematik dalam pengurusan komunikasi, termasuk
dalam hal ehwal pengurusan media, penjenamaan visual dan penulisan ucapan rasmi.
“Lawatan ini sangat membantu kami menambah baik proses dalaman dan menyemak
keberkesanan strategi sedia ada di USIM,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kolaborasi seperti ini mampu mewujudkan ekosistem
komunikasi yang lebih berdaya saing dalam kalangan universiti awam.
“Keterlihatan universiti pada hari ini bukan lagi bergantung kepada bahan bercetak semata-mata, tetapi bagaimana kita mengurus maklumat di pelbagai platform digital, serta membina hubungan berterusan dengan media dan masyarakat. UPSI memberikan contoh pelaksanaan baik dalam aspek ini.
Delegasi USIM juga turut dibawa melawat fasiliti serta kemudahan di sekitar Kampus Sultan Azlan Shah serta kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI antaranya UPSI Sports Bowl, UPSI Glamping Park dan UPSI Adventure Park.
“Lawatan penanda aras ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman, malah membuka ruang kerjasama strategik yang lebih erat antara UPSI dan USIM dalam memartabatkan fungsi komunikasi korporat institusi pendidikan tinggi awam,” katanya.

































