Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu telah menganjurkan program Town Hall bersama agensi penguatkuasaan undang-undang yang saling berkaitan tentang isu-isu keselamatan di perairan dan persisiran Pantai Timur Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, DCP Dato’ Mohd Khairi Khairudin ketika merasmikan program Town Hall ini berkata, Terengganu memiliki garis pantai sepanjang 244 km menghadap Laut China Selatan merangkumi daerah Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Besut.

Beliau berkata, kawasan ini juga kaya dengan Biodiversiti Marin yang menjadi tumpuan aktiviti seperti perikanan sama ada perikanan tradisional atau laut dalam, pelancongan pulau dan pantai, pengangkutan maritim dan aktiviti pelantar minyak.

“Negeri ini dengan garis pantai persisiran yang luas dan zon perairannya yang strategik sentiasa terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman keselamatan antara isu-isu utama yang perlu kita tangani bersama ada daripada sudut dasar kerajaan dan undang-undang serta tindakan berbentuk operasi seperti tangkapan selain rampasan pencerobohan nelayan asing, kes pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dalam operasi bersepadu.

“Selain itu, aduan awam berkaitan kegiatan menjual minyak diesel yang dicuri termasuk di pelantar minyak akan dicegah. PDRM negeri ini sentiasa mengambil langkah keselamatan dan penguatkuasaan utama.

“PDRM bertekad meneruskan dan memperkukuhkan rondaan serta kawalan sempadan secara bersama dengan agensi penguatkuasaan lain. Perkongsian risikan antara agensi latihan keselamatan dan pertahanan agensi maritim turut diadakan manakala pengunaan teknologi pemantauan seperti dron, radar pantai dan sistem komunikasi bersepadu sentiasa digerakkan,” katanya di Pusat Sains dan Kreativiti, Kampung Laut Chendering Kuala Terengganu di sini, baru-baru ini.

Mohd Khairi berkata, PDRM sentiasa berhubung dengan masyarakat tempatan melalui saluran Aduan Awam bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat tentang pelbagai perkara berkaitan jenayah.

Beliau berkata, program ini diharapkan akan dapat menyumbang kepada kestabilan dan keselamatan perairan negeri Terengganu kerana isu isu keselamatan daripada kepentingan dan kesejahteraan komuniti tidak boleh dipisahkan sepertimana kelangsungan industri pelancongan di pulau-pulau dan sektor perikanan selain keyakinan pelabur untuk datang melabur di Pantai Timur khususnya negeri Terengganu.

Beliau seterusnya menyeru agar semua pihak yang hadir dapat manfaatkan wacana ini dengan meluahkan pandangan secara terbuka dan membina rangkaian bagi menyokong inisiatif keselamatan secara bersepadu.

“Kita jadikan sesi Town Hall ini sebagai titik permulaan kepada stretegi yang lebih kukuh demi mempertahankan keselamatan maritim yang merangkumi sempadan perairan dan persisiran pantai serta ketenteraman awam di negeri Terengganu,” katanya lagi.

Program Town Hall PDRM yang julung kali diadakan melibatkan enam panel yang terdiri daripada Mohd Khairi, Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamilludin Che Awang; Pengarah Perikanan Terengganu, Pang anak Nyukang; Pengarah MOTAC Terengganu, Mazshida Ruslal; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Laut, Wilayah Timur, Saiful Islam Mat; Unit Korporat/Promosi Jabatan Pelancongan Terengganu, Sharifah Nur Syafiqah Tuan Zainal Abidin manakala moderator Dato’ Dr Mustapha Ahmad Marican yang juga Profesor Adjung UMT.

Mustapha yang juga penceramah kesukarelawan Universiti dan Pengerusi NGO Antarabangsa merupakan Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 dan banyak menerima Anugerah kesukarelawan peringkat antarabangsa.

Seramai 200 peserta hadir dalam program townhall tersebut terdiri daripada persatuan nelayan, persatuan pelancongan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu, ahli akademik, PDRM dan wakil pelantar minyak Petronas.

Town Hall yang dianjurkan oleh PDRM Kontinjen Terengganu merupakan julung kali diadakan ini menunjukkan usaha PDRM Terengganu memperkasakan operasi membenteras jenayah bukan sahaja di daratan tetapi di sempadan perairan negara dengan cara operasi bersepadu.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini