CapitaLand dinobatkan sebagai Syarikat Terbaik Tahun Ini untuk Keprihatinan Komuniti Cemerlang di bawah kategori Pusat Beli-Belah dan turut menggondol Anugerah Kecemerlangan Jangka Panjang di Anugerah Sustainability & CSR Malaysia Awards 2025.
Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkasa komuniti melalui pelbagai inisiatif bermakna, khususnya menerusi program #GivingBersama4.0.
Ini menandakan tahun ketiga berturut-turut CapitaLand menerima anugerah berprestij Syarikat Terbaik Tahun Ini, sekali gus membuktikan komitmen jangka panjangnya dalam memperkaya kehidupan rakyat Malaysia.Tahun lalu, syarikat ini turut diiktiraf atas usaha membantu kanak-kanak kurang berkemampuan.
Anugerah tahunan Sustainability & CSR Malaysia Awards 2025 dikhususkan kepada organisasi yang menunjukkan komitmen cemerlang terhadap kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada kempen global CapitaLand #GivingAsOne, inisiatif #GivingBersama 4.0 telah dilancarkan untuk membantu penghuni rumah anak yatim, pelajar sekolah dan keluarga berpendapatan rendah di Pulau Pinang, Lembah Klang, Pahang dan Johor.
Dengan sokongan CapitaLand Hope Foundation (CHF), iaitu sayap kebajikan Kumpulan CapitaLand, inisiatif ini menyumbang barangan keperluan harian dan pendidikan bernilai RM200,000 kepada lebih 2,600 penerima.
Dari 23 Oktober hingga 20 Disember 2024, lebih 180 kakitangan CapitaLand telah meluangkan lebih 1,400 jam untuk kerja-kerja sukarela bagi berbakti kepada masyarakat.
Mereka berjaya menjangkau hampir 800 kanak-kanak kurang berkemampuan dari 21 rumah jagaan dan lebih 1,800 individu daripada 600 keluarga berpendapatan rendah. Golongan sasar ini dikenal pasti menerusi kerjasama dengan Unit Mutiara Food Bank di Pulau Pinang serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia di Kuala Lumpur, Kuantan dan Johor.
Antara agenda utama inisiatif tahun ini ialah pengenalan pengalaman bazar di pusat beli-belah – yang pertama seumpamanya oleh CapitaLand. Dianjurkan di dewan komuniti seluruh Malaysia, acara berkonsepkan pasar ini membolehkan penerima memilih sendiri barangan diperlukan, memberikan pengalaman yang lebih mesra dan peribadi.
Pengarah Urusan Runcit, CapitaLand Investment (Malaysia), Selina Ng berkata, pihaknya amat berbesar hati menerima anugerah berprestij ini untuk tahun ketiga berturut-turut, lebih-lebih lagi ketika CapitaLand meraikan ulang tahunnya yang ke-25 tahun ini.
“Anugerah ini membuktikan usaha berterusan kami dalam memberi impak positif dan berkekalan kepada komuniti tempat kami beroperasi.
“Di CapitaLand, kami percaya bahawa membina komuniti yang berdaya tahan bukan sekadar melalui sumbangan kewangan semata-mata. Menerusi inisiatif #GivingBersama, kami berasa amat terharu dengan sokongan yang berterusan daripada kakitangan, penyewa, rakan niaga dan komuniti umum.
“Bersama-sama, kita membawa perubahan ketara dalam kehidupan golongan yang memerlukan di seluruh Malaysia. Sejak 2011, dengan sokongan CHF, kami telah menbantu lebih 16,100 penerima dan menyumbang lebih daripada RM2.6 juta dalam inisiatif komuniti,” katanya.
Kempen tahunan #GivingAsOne oleh CapitaLand diadakan setiap bulan September dan Oktober bagi menggerakkan kakitangan, penyewa, rakan niaga dan pelanggan di pelbagai pasaran untuk membantu komuniti yang memerlukan sokongan. Pada tahun 2024, lebih 8,900 sukarelawan di 17 negara telah menyumbang lebih 46,000 jam sukarelawan, memberi manfaat kepada lebih 13,000 individu di seluruh dunia.
Kehadiran CapitaLand di Malaysia merangkumi pelbagai jenis aset termasuk kediaman, runcit, penginapan, logistik dan pusat perniagaan. Rangkaian runcitnya merangkumi tujuh pusat beli-belah: Melawati Mall di Taman Melawati dan enam lagi pusat beli-belah di bawah CapitaLand Malaysia Trust—3 Damansara di Petaling Jaya, East Coast Mall di Kuantan, Gurney Plaza dan Queensbay Mall di Pulau Pinang, The Mines di Seri Kembangan, dan Sungei Wang Plaza di Kuala Lumpur.
CapitaLand turut mengendalikan Nusajaya Tech Park, sebuah taman perindustrian seluas 210 hektar yang terletak di Iskandar Puteri, Johor.