Dalam era serba digital ini, keperluan terhadap peranti serbaguna yang mampu memenuhi pelbagai tugasan dalam satu peranti semakin mendesak. Pada harga mampu milik dan dipadankan dengan ciri Kecerdasan Buatan (AI) menjadikan sesebuah peranti ini sebagai satu keperluan untuk memenuhi pelbagai kehendak gaya hidup.

Samsung kali ini kembali dengan siri tablet serba baharu, Samsung Galaxy Tab S10 FE+ tampil sebagai pilihan unggul yang bukan sekadar menawarkan spesifikasi mantap, malah juga menyesuaikan diri dengan keperluan pelbagai golongan – pelajar, profesional, artis kreatif, pengembara, malah juga kreator kandungan media sosial.

Dengan reka bentuk lebih nipis, paparan lebih besar dan keupayaan AI terbina, adakah ini tablet “fan edition” yang paling berbaloi setakat ini? Jom baca lebih lanjut ulasan peranti ini yang diuji oleh Prebiu.com.

Paparan Lebih Luas

Perkara pertama yang mencuri perhatian pada peranti ini ialah paparan skrin bersaiz 13.1-inci – hampir 12 peratus lebih besar berbanding model sebelumnya. Bezelnya kini lebih nipis, menjadikan pengalaman menonton lebih puas dan sistem audio Dolby Atmos menghasilkan bunyi hebat menerusi corong dwi speaker.

Tambahan pula, ia menyokong kadar segar semula 90Hz, memberikan animasi dan tatalan yang lebih lancar – satu ciri penting untuk permainan dan penstriman sama ada ketika menonton video atau mendengar muzik kegemaran anda.

Paparan juga kini lebih cerah, mencecah 800 nits HBM, cukup baik untuk digunakan di luar rumah. Samsung turut menyertakan Vision Booster yang melaras kecerahan secara automatik, serta penuras cahaya biru bagi mengurangkan keletihan mata – satu kelebihan untuk mereka yang gemar menggunakan tablet berjam-jam, sama ada untuk belajar atau bekerja.

Di sebalik reka bentuk yang nipis dan ringan – peranti ini 4 peratus lebih ringan dari generasi lalu sekali gus tablet ini cukup berkuasa untuk tugasan harian. Ia menyokong multi-guna dengan lancar, boleh menjalankan pelbagai aplikasi serentak tanpa masalah lengah dan turut dilengkapi kamera belakang 13Megapiksel (MP) yang dinaik taraf – cukup baik untuk mengimbas dokumen atau rakam detik penting di kelas atau tempat kerja.

Paling mengagumkan, Samsung berjaya mengekalkan penarafan IP68 untuk ketahanan terhadap air dan debu – sesuatu yang jarang ada pada tablet dalam kategori ini. Ini menjadikan peranti ini sangat sesuai dibawa ke mana-mana sahaja sama ada untuk tujuan kerja mahupun santai.

AI Memudahkan, Bukan Sekadar Gimik

Samsung benar-benar ingin menjadikan tablet ini sebagai peranti yang benar-benar produktiviti dan kehadiran AI terbina membantu merealisasikannya. Beberapa ciri AI menarik termasuk:

  • Circle to Search with Google – hanya bulatkan apa yang anda lihat di skrin untuk buat carian pantas tanpa meninggalkan aplikasi semasa. Apa yang menariknya anda boleh mendapatkan maklumat dengan cepat, terjemahan teks di skrin atau dapatkan bantuan kerja rumah dengan penjelasan langkah demi langkah – semuanya di satu skrin besar.

  • Samsung Notes AI Tools – kini menampilkan Solve Math untuk pengiraan pantas daripada tulisan tangan dan teks, serta Handwriting Help untuk merapikan nota dengan mudah – menjadikan pencatatan nota lebih mudah supaya pengguna boleh kekal fokus.

  • Galaxy AI Key pada papan kekunci Book Cover membolehkan akses pantas ke pembantu AI yang boleh disesuaikan mengikut keperluan anda.

  • AI Assistants boleh diakses serta-merta dengan satu sentuhan pada Galaxy AI Key di papan kekunci Book Cover. AI ini juga boleh disesuaikan mengikut keutamaan pengguna untuk pengalaman yang lebih peribadi.

  • Object Eraser yang dipertingkatkan membolehkan pengguna memadam objek yang tidak diingini dalam foto dengan mudah, lengkap dengan cadangan automatik untuk suntingan pantas. Lihat gambar dibawah bagaimana bangunan disebelah kiri mudah dipadam menggunakan aplikasi ini.

  • Best Face yang diperkenalkan baru-baru ini memastikan gambar berkumpulan sempurna dengan memilih dan menggabungkan ekspresi dan ciri terbaik setiap orang.

  • Auto Trim menghidupkan detik istimewa dengan memilih dan menyusun rakaman video menjadi montaj sorotan secara automatik.

Kreativiti Hebat S Pen

Peranti ini tidak lengkap jika tidak diberikan sokongan pen pintar S Pen serba baharu yang hadir dengan beberapa aplikasi pro seperti:

  • LumaFusion – untuk suntingan video tahap profesional,

  • Goodnotes dan Noteshelf 3 – untuk pencatatan nota yang teratur,

  • Clip Studio Paint dan Sketchbook – untuk pelukis digital,

  • Picsart – untuk penyuntingan imej kreatif.

Dengan sokongan S Pen, pengalaman melukis dan menulis di skrin terasa semula jadi dan responsif. Pen pintar ini bertindak lancar ketika digunakan pada papan tablet ini tanpa rasa lengah malah boleh melekat mudah pada sisi tablet.

Samsung Knox

Seperti mana-mana peranti Galaxy, siri Galaxy Tab S10 diperkukuh dengan keselamatan kukuh melalui Samsung Knox – platform keselamatan bertaraf pertahanan pelbagai lapisan Samsung Galaxy yang direka untuk melindungi maklumat penting melalui perlindungan perkakasan menyeluruh, pengesanan ancaman masa nyata dan perlindungan kolaboratif. Ini memastikan data anda kekal selamat, sama ada ketika menggunakan peranti untuk kerja atau hiburan.

Berikut ialah ulasan komprehensif mengenai kelebihan Samsung Tab S10 FE+ merentas enam kategori utama.

1. Pendidikan & Pembelajaran

Samsung Tab S10 FE+ merupakan peranti ideal bagi pelajar dari semua peringkat usia mahupun individu yang mementingkan pembelajaran sepanjang hayat. Dilengkapi dengan paparan besar berdefinisi tinggi, penggunaan tablet ini untuk pembelajaran menjadi lebih imersif dan menyeronokkan.

Dengan S Pen yang disertakan, pengguna boleh menulis nota terus pada skrin dengan kelajuan dan ketepatan tinggi, seolah-olah menulis pada kertas sebenar. Fungsi seperti Samsung Notes membolehkan nota disimpan, disusun dan diselaraskan dengan awan (cloud), menjadikan akses kepada nota lebih mudah dari mana-mana peranti.

Tab S10 FE+ menyokong pelbagai aplikasi pembelajaran seperti Google Books, Kindle, Quizlet dan Anki, memudahkan pelajar untuk membaca buku teks digital serta menggunakan flashcards dalam sesi ulang kaji.

Aplikasi seperti MindMeister dan XMind berfungsi lancar di atas platform Android dan dimanfaatkan sepenuhnya dengan stylus dan skrin besar tablet ini. Ini menjadikan proses pemikiran kreatif lebih terstruktur dan visual.

2. Kerja & Produktiviti

Samsung Galaxy Tab S10 FE+ adalah alat peranti canggih yang menjadikan kerja jarak jauh lebih cekap dan fleksibel.

Dengan sokongan Samsung DeX, pengguna boleh menukar tablet kepada pengalaman seperti desktop apabila disambung dengan papan kekunci dan tetikus. Aplikasi seperti Microsoft Office, Google Docs, dan Adobe Acrobat Reader berjalan dengan lancar, membolehkan pengguna menyunting dokumen secara profesional di mana-mana sahaja.

Kamera hadapan beresolusi tinggi dan sistem audio yang ditambah baik memastikan kualiti panggilan video lebih jelas serta mesra telinga. Sokongan untuk aplikasi seperti Zoom, Google Meet dan Microsoft Teams menjadikannya peranti paling sesuai untuk persidangan video malah ketahanan baterinya turut menjadi satu kelebihan.

Selain itu, bagi anda yang terbabit dalam bidang animasi, pembikinan video mahupun menghasllkan montaj ringkas, peranti ini cukup mudah dikendalikan. Lihatlah contoh dibawah ini apabila proses mengedit video dilakukan dengan lancar dan hasilnya dapat disiapkan dalam tempoh singkat.

Dengan sambungan 5G serta sokongan aplikasi akses jauh seperti TeamViewer atau Microsoft Remote Desktop, pengguna boleh mengakses komputer pejabat dari mana-mana lokasi tanpa sebarang gangguan. Malah anda boleh menjadikan tablet ini sebagai peranti menggantikan telefon pintar anda menerusi aplikasi link to Windows.

3. Kreativiti & Seni

Galaxy Tab S10 FE+ ialah kanvas digital moden untuk anda yang gemar melukis khususnya kepada seniman, pereka grafik dan penggiat seni digital.

S Pen yang responsif dan berteknologi tinggi memberikan pengalaman melukis yang tepat dan halus. Aplikasi seperti Clip Studio Paint, Infinite Painter dan Autodesk Sketchbook memberi fleksibiliti dan kawalan penuh kepada seniman digital. Cukup sesuai bagi mereka yang terlibat dalam bidang kreatif.

Dengan pemproses yang berkuasa dan skrin berkualiti tinggi, penyuntingan foto menggunakan Adobe Lightroom, Snapseed dan penyuntingan video dengan KineMaster, LumaFusion menjadi lebih lancar dan profesional. Paparan warna yang kaya menjadikan suntingan lebih tepat daripada segi visual.

Aplikasi penghasilan muzik seperti FL Studio Mobile atau BandLab berfungsi cemerlang di tablet ini, dan dengan tambahan alat bunyi melalui USB-C atau Bluetooth, anda boleh membina studio mini bergerak.

Sama ada menulis blog, artikel atau jurnal harian, pengalaman menaip pada Tab S10 FE+ disokong penuh oleh pelbagai aplikasi seperti Samsung Notes, Google Keep, dan Evernote, malah juga Scrivener untuk penulis profesional.

4. Aplikasi Pintar SmartThings 

Tablet ini bukan hanya untuk kerja atau pembelajaran, tetapi juga menjadi pusat kawalan rumah pintar dan hiburan keluarga.

Dengan integrasi aplikasi SmartThings, pengguna boleh mengawal pencahayaan, peralatan elektrik, pendingin hawa dan kamera keselamatan terus dari tablet mereka.

Letakkan peranti ini di dapur dan akses resepi secara visual dari aplikasi seperti Tasty, Kitchen Stories dan YouTube. Saiz skrin yang besar memudahkan pembacaan resepi walaupun dari jarak jauh.

Paparan immersive dengan refresh rate tinggi dan sistem bunyi hebat audio Dolby Atmos menjadikan tablet ini sempurna untuk menonton filem, mendengar muzik dan bermain permainan.

Aplikasi Gaming Hub yang sedia ada dalam peranti ini menawarkan pelbagai pilihan ‘Game’ yang menyeronokkan dan kelebihan skrin yang besar ini membolehkan anda berkongsi bermain dengan rakan-rakan tanpa jemu.

Mod Eye Comfort pula membantu mengurangkan keletihan mata semasa membaca buku digital. Aplikasi seperti Khan Academy Kids, YouTube Kids dan Lingokids menjadikan tablet ini sesuai untuk pendidikan anak-anak kecil juga.

5. Perjalanan & Mobiliti

Galaxy Tab S10 FE+ ialah teman perjalanan terbaik bagi mereka yang aktif bergerak.

Tablet ini boleh menjadi alat navigasi berkuasa apabila digandingkan dengan Google Maps atau Waze. Paparan besar memberikan gambaran peta yang lebih jelas semasa pemanduan atau menjelajah kawasan baharu.

Dengan storan besar serta sokongan kad microSD, pengguna boleh memuat turun filem, muzik atau buku sebelum perjalanan. Bateri yang tahan lama pula memastikan hiburan berterusan.

Gunakan aplikasi seperti Journey atau Day One untuk merakam kenangan perjalanan dalam bentuk foto, catatan dan video terus dari tablet.

6. Runcit, Jualan & Kerja Lapangan

Tab S10 FE+ juga boleh membantu pekerja lapangan menjalankan tugas dengan lebih efisien dan moden.

Dengan sambungan internet dan aplikasi Point-of-Sale seperti Square atau iReap POS, tablet ini boleh dijadikan sistem pembayaran digital yang lengkap, sama ada di kaunter atau secara mudah alih.

Paparan jelas dan berkualiti tinggi menjadikannya sempurna untuk menunjukkan katalog produk kepada pelanggan. Ciri interaktif seperti zoom, video dan slide menjadikan persembahan lebih menarik.

Penggunaan aplikasi seperti DocuSign membolehkan pelanggan menandatangani dokumen secara digital terus pada skrin, mempercepatkan urusan tanpa kertas.

Aplikasi pengurusan inventori seperti Zoho Inventory atau Stock and Inventory Simple dapat dijalankan terus dari tablet, membolehkan kemas kini stok dibuat secara masa nyata di tapak. Ciri ini amat sesuai digunakan oleh perunding jualan atau perunding insurans yang sentiasa bergerak berurusan dengan pelanggan.

Kesimpulan

Terlalu banyak hendak ditulis mengenai kelebihan peranti ini. Samsung Galaxy Tab S10 FE+ bukan sekadar sebuah tablet – ia adalah peranti serba boleh yang menggabungkan gaya hidup, kerja, hiburan dan kreativiti dalam satu platform.

Sama ada anda seorang pelajar, pekerja profesional, artis, ibu bapa, pengembara atau kreator kandungan, tablet ini mampu menyesuaikan diri dengan gaya hidup anda dan meningkatkan kecekapan harian anda.

Dengan gabungan prestasi tinggi, sokongan S Pen, paparan memukau dan bateri tahan lama berkapasiti 10,090 mAh, peranti ini merupakan pelaburan pintar dalam era digital masa kini.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini