HONOR kembali memeriahkan pasaran telefon pintar dengan pengenalan model baharunya, HONOR 400 Pro, yang bukan sahaja menonjol daripada segi rekaan malah sarat dengan teknologi terkini terutama dalam kecerdasan buatan (AI).

Model ini menyasarkan pengguna yang mengutamakan prestasi kamera, visual paparan berkualiti tinggi serta pengalaman penggunaan yang pintar dan lancar.

Dengan reka bentuk yang elegan dan spesifikasi kamera yang mengagumkan, HONOR 400 Pro menjanjikan pengalaman premium dalam segmen telefon pintar kelas pertengahan.

Apa yang menarik pada model Siri HONOR 400 ialah HONOR sekali lagi menerajui inovasi teknologi dengan mengumumkan sebagai telefon pintar pertama di dunia dilengkapi teknologi revolusioner AI Image To Video.

Ketika pesaing lain hanya menumpukan pada suntingan foto berasaskan AI, HONOR menerusi kerjasama dengan Google Cloud memperkenalkan teknologi inovatif yang mampu menghasilkan pergerakan jelas pada imej biasa dalam bentuk video.

Peranti ini turut menampilkan corak unik pada panel belakang HONOR 400 Pro yang memancarkan biasan cahaya dalam gaya elegan dan futuristik. Ini menambahkan lagi nilai estetik kepada peranti ini dan membuatkan ia tampak lebih eksklusif berbanding pesaing lain dalam julat harga sama.

Ciri Kamera

Salah satu tarikan utama HONOR 400 Pro ialah keupayaan kameranya yang sangat mengagumkan. Telefon ini dilengkapi dengan kamera utama beresolusi 200 Megapiksel (MP), disokong oleh lensa telephoto 50MP yang membolehkan pengguna mengambil gambar dengan zoom optikal yang lebih jitu tanpa kehilangan kualiti.

Peranti ini hadir dengan reka bentuk tiga kamera yang menawan, manakala model standard menampilkan dwi-kamera. Rekaan ini bagi memastikan Siri HONOR 400 sentiasa menjadi tumpuan.

Meskipun rekaan kamera itu dapat dirasakan besar tetapi dilindungi bingkai yang menjadikan peranti itu tidak begitu menonjol. Bahagian hadapan, dipadankan kamera selfie 50MP.

Kamera utama mampu merakam imej dengan tahap ketajaman luar biasa, butiran yang sangat jelas walaupun dalam keadaan cahaya rendah dan warna yang semula jadi.

Sama ada anda mengambil gambar landskap, potret mahupun foto makro, hasilnya sangat memuaskan. Tambahan pula, keupayaan pengimejan berbilang-bingkai (multi-frame) dan pemprosesan imej pintar menjadikan setiap rakaman lebih dinamik dan hidup.

Mod telephoto pula membolehkan pengguna merakam dari jauh dengan zoom optik yang stabil, menjadikannya sesuai untuk merakam bangunan, atau gambar candid dengan komposisi yang lebih dramatik. Ia juga menyokong zoom sehingga 50 kali ganda yang menggabungkan keupayaan optikal dan digital tanpa menjejaskan kualiti imej.

Apa yang menarik ialah peranti ini turut dilengkapi ciri AI Super Zoom dimana imej yang dirakam menggunakan zoom 50 kali akan dipertingkatkan secara automatik dengan tahap ketajaman sebanyak 50 peratus. Ini bermakna imej yang biasanya kelihatan kabur akan kelihatan lebih baik.

Rakaman video turut tidak mengecewakan. Telefon ini menyokong rakaman resolusi tinggi dengan kestabilan yang baik, sesuai untuk kegunaan kandungan media sosial.

Ciri Inovasi AI

HONOR 400 Pro bukan sekadar telefon pintar tetapi menawarkan pelbagai teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan pengalaman pengguna. Beberapa ciri utama AI yang diperkenalkan termasuk:

  • AI Imej ke Video – membolehkan AI termaju HONOR secara pintar menghasilkan pergerakan pada subjek, mengubah setiap imej statik kepada video MP4 pendek berdurasi lima saat. Pengguna juga boleh memilih untuk memproses video tersebut dalam format 16:9 atau 9:16.

Lihat contoh gambar yang di atas di mana imej statik yang dirakam semula dan kemudian dijana menjadi video menerusi ciri AI Image To Video. Menarik bukan!

Begitu juga gambar di bawah ini apabila sebuah alat mainan yang berada dalam keadaan statik dijana menjadi video. Anda boleh menjana mana-mana video yang dihasilkan mengikut citarasa sekiranya pilihan video yang dihasilkan tidak memuaskan hati anda.

Ciri ini membuka peluang yang menakjubkan untuk mengimbau kembali pelbagai jenis kenangan. Gambar lama seorang nenek dari dekad 1950-an kini boleh dijelmakan untuk anda melihat dia berpaling dan tersenyum. Dengan ciri ini juga, lukisan naga anak anda boleh terbang megah di langit.

  • AI Cutout – Fungsi ini memudahkan anda menyingkirkan objek atau seseorang secara automatik dari latar belakang gambar, sesuai untuk penyuntingan gambar yang pantas dan profesional tanpa memerlukan aplikasi tambahan.
  • AI Outpainting – Dengan AI ini, pengguna boleh memperluaskan imej asal dan pada masa sama mengekalkan ciri asal. Sesuai untuk imej pemandangan, lanskap dan paparan di media sosial.
  • AI Upscale – Teknologi ini membolehkan anda meningkatkan resolusi imej gambar-gambar lama resolusi rendah dengan mengekalkan ketajaman dan butiran. Ia sangat berguna bagi mereka yang ingin mencetak gambar dalam saiz besar atau menyimpan kenangan dalam kualiti tertinggi.
  • Harcourt Studio – Inspirasi dari gaya potret klasik, fungsi ini memberikan kesan pencahayaan dramatik kepada gambar potret seperti yang biasa dilihat dalam studio profesional. Ia menambahkan nilai artistik dan nostalgia dalam setiap tangkapan.
  • AI Eraser 2.0 – Salah satu ciri paling menarik, AI Eraser 2.0 membolehkan anda memadam objek atau individu yang tidak diingini dari gambar dengan hasil yang bersih dan semula jadi.
  • AI Remove Reflection – Membersihkan kesan refleksi akibat kesan daripada cermin atau flash menjadikan gambar lebih jelas dan menarik
  • AI Face Tune – Meningkatkan imej gambar dengan mengesan mata mana-mana individu dan menggunakan ciri AIGC untuk ‘membuka mata’ sama ada gambar potret atau berkumpulan.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, HONOR 400 Pro adalah sebuah peranti yang sangat berbaloi untuk dimiliki bagi mereka yang mencari telefon pintar dengan kombinasi hebat antara reka bentuk moden, prestasi kamera profesional dan teknologi AI terkini.

Fungsi AI pula menjadikan penyuntingan gambar dan video lebih mudah, pantas, dan menarik – sesuai untuk pencipta kandungan, pereka visual, atau sekadar pengguna biasa yang gemar berkongsi detik harian secara kreatif untuk dipaparkan di media sosial.

Dengan semua kelebihan ini, HONOR 400 Pro menetapkan penanda aras baharu dalam kategori telefon pintar pertengahan premium dan pastinya mencuri perhatian di pasaran.

Kombinasi semua ciri AI ini menjadikan HONOR 400 Pro bukan sahaja alat komunikasi, malah sebuah studio kreatif di hujung jari anda.

Peranti ini akan hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Lunar Grey, Tidal Blue dan Midnight Black, manakala HONOR 400 pula akan dipasarkan dalam warna Desert Gold, Tidal Blue dan Midnight Black.

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak:

  • 1x HONOR 400 Pro.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.
  • Nantikan ulasan penuh HONOR 400 Pro

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini