Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menaikkan jumlah import kenderaan import terpakai daripada 35,000 unit kepada 50,000 unit setahun, dengan mengekalkan fi import sebanyak RM10,000 setiap unit.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, peningkatan kenderaan import akan membawa faedah kepada semua pihak yang terlibat dalam industri kenderaan kereta import dan industri hiliran.

Beliau yakin langkah tersebut akan dapat menambah penjanaan ekonomi melebihi RM2 bilion setiap tahun yang disumbangkan daripada industri kenderaan import, selain daripada itu ianya juga mendatangkan hasil fi import kenderaan kepada MITI dan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia pula akan dapat kutipan hasil daripada duti import, duti eksais dan cukai jualan.

“Ianya juga akan menjana pendapatan kepada industri lain yang terlibat seperti perbankan, insurans, warranti kenderaan dan lain-lain.

“Dasar kerajaan yang memperkenalkan Dasar AP Terbuka telah meningkatkan jumlah pemegang AP daripada 100 syarikat kepada 300 syarikat sehingga kini. Oleh itu, peruntukan AP sebanyak 35,000 setahun adalah tidak mencukupi untuk digunapakai oleh keseluruhan ahli PEKEMA.

“Saya amatlah berharap agar MITI dapat meluluskan permohonan untuk menambahkan kenderaan import terpakai sebanyak 15,000 unit kepada 50,000 unit setahun agar dapat  memberi ruang yang lebih besar bagi pertumbuhan dalam pasaran kenderaan negara kereta,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan PEKEMA KE-42 yang dirasmikan oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, di KLCC, di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada segi peratusan jualan ianya hanya 6.8% daripada TIV sebanyak 725,000 oleh MAA untuk tahun 2023. Selain daripada itu tidak semua kenderaan ahli PEKEMA dapat dijual pada tahun kemasukan kenderaan tersebut.

Sementara itu, Datuk Zainuddin Abd Rahman yang telah memimpin PEKEMA lebih dari satu dekad mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada jawatan Presiden PEKEMA.

Keputusan itu dibuat demi membuka peluang kepada pemimpin baharu untuk mengambil alih tampuk kepemimpinan dalam persatuan ini.

Selain penstrukturan kepimpinan, PEKEMA juga telah melantik muka-muka baharu untuk jawatan Timbalan Presiden dan ahli jawatankuasa PEKEMA pada Mesyuarat Agung Tahunan PEKEMA KE-42 tahun ini.