Capital A Berhad, syarikat pemegang pelaburan AirAsia, airasia MOVE (sebelum ini dikenali sebagai airasia Superapp), perniagaan logistik Teleport, dan kumpulan perkhidmatan penerbangan, mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes telah dinobatkan sebagai ‘Asia Pacific CEO of The Year’ di Anugerah Aviation 100 Asia Pasifik 2023 oleh Airline Economics di Singapura.
Majlis anugerah ini diadakan sejajar dengan Persidangan Airline Economics Growth Frontiers Asia Pasifik, dengan sekitar 700 ahli profesional dalam bidang penerbangan telah hadir ke persidangan tersebut.
Proses pengundian terdiri daripada pakar industri, termasuk syarikat penerbangan, pemilik pesawat, bank, firma guaman, dan pemegang kepentingan utama lain, undian industri tahunan oleh Airline Economics ini mengiktiraf serta meraikan pemimpin terunggul dalam industri penerbangan.
Undian bagi penganugerahan ‘Aviation 100’ inj adalah proses menyeluruh dan komprehensif yang meliputi sepanjang tahun, terdiri daripada undian yang khusus kepada setiap aspek, dan dikenali kerana kebolehpercayaannya untuk mengenal pasti tokoh terunggul dalam bidang kewangan, pemajakan, dan undang-undang, bersama dengan eksekutif tertinggi dari syarikat penerbangan utama.
Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Capital A berkata: “Tahniah kepada rakan saya, Tony, atas pencapaian hebat ini, kerana ia mencerminkan kerja keras, ketabahan, dan kesetiaan semua Allstars di seluruh Capital A.
“Pengiktirafan ini datang pada masa yang tepat apabila industri penerbangan kini mula membangun dan berkembang selepas pandemik global Covid-19, dan menonjolkan nilai yang kami bawa kepada pelanggan kami sebagai sebuah kumpulan perkhidmatan penerbangan dan pelancongan yang berharga.
“Melangkah ke depan, kami akan terus merealisasikan misi kami dalam memberikan pengalaman pelanggan yang tiada tandingan di samping terus memberikan sumbangan positif kepada ekonomi dan industri, di peringkat serantau dan seterusnya.” katanya dalam kenyataan.