Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dato Dr Mustapha Ahmad Marican mengadakan pertemuan dengan Yang DiPertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dato Sri Dr Hj Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen, semalam.

Beliau berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan berhubung dengan isu-isu semasa, isu serantau dan antarabangsa termasuk isu Palestin.

“Saya sudah lama mengenali Tan Sri Datuk Sri Dr Wan Junaidi. Kami bersama-sama terlibat dalam operasi membebaskan 47 tahanan rakyat Malaysia yang terkandas akibat ditipu oleh sindiket ‘scammer’ yang menawarkan pekerjaan di luar negara pada tahun 2019.

“Daripada jumlah keseluruhan 47 orang itu, seramai 40 orang daripadanya adalah rakyat Sarawak, tiga rakyat Sabah dan empat dari Selangor serta Kuala Lumpur. Itu adalah kenangan dan sejarah yang sukar dilupakan,” katanya lagi.

Justeru, beliau menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis sindiket agensi pekerjaan dari luar negara yang menawarkan peluang pekerjaan dan membuat siasatan sendiri bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.