Perkara pertama yang menarik perhatian ketika peranti ini mula-mula diperkenalkan pada sesi pelancarannya bulan lalu ialah skrin luar lebih besar berbanding model sebelum ini.

Ada yang memuji dan ada juga yang kata nampak pelik. Tapi bagi Prebiu.com yang sekali lagi diberi peluang menguji peranti terbaharu ini berpendapat, ini adalah peranti boleh lipat paling cantik pernah dihasilkan.

Pengenalan Samsung Galaxy Z Flip5 ini boleh dianggap kesinambungan kepada peranti terdahulu yang menjadi perintis kepada telefon pintar jenis skrin lipat yang pernah popular satu ketika dahulu.

Malah, pengenalan telefon pintar jenis ini seolah-olah menjadi ikutan kepada beberapa pengeluar peranti lain termasuk dari China yang turut memperkenalkannya.

Skrin Luar

Skrin luar bersaiz 3.4 inci ini dikenali sebagai Flex Window jenis Super AMOLED dengan kadar segar semula 60 Hz.

Padanan skrin yang lebih besar ini, membolehkan pengguna peranti ini membaca mesej penuh, membalas WhatsApp, dan menonton video YouTube lebih mudah tanpa perlu membuka skrin penuh.

Malah mengambil gambar swafoto atau merakam video juga lebih menyeronokkan kerana paparan skrin lebih besar dan hasil gambar juga lebih baik.

Dah namanya skrin boleh lipat, tentu sekali ciri Flex Window akan menerima sokongan aplikasi lebih banyak pada masa depan.

Skrin dalaman pula sebesar 6.7″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz yang sama seperti pada Z Flip4. Meskipun masih kelihatan alur lipatan pada skrin tetapi ini ia bukannya satu masalah kerana tiada mana-mana peranti boleh lipat boleh menyelesaikan masalah ini ketika ini.

Peranti generasi kelima yang bertaraf premium dalam kategorinya tersendiri ini menggabungkan penambahbaikan utama seperti yang diminta oleh pengguna telefon pintar boleh lipat Samsung menjadikannya lebih tahan lama dengan pengalaman yang lebih optimum daripada rekaan sebelumnya.

Apa yang menarik pada peranti sebesar tapak tangan Z Flip5 kali ini? Tentu sekali tampil dengan warna baharu namun tidak banyak perubahan besar daripada segi luaran pada peranti ini tetapi lebih menekankan kepada aspek komponen dalaman.

Dalam ulasan sisi pandang pertama pada peranti ini ialah rekaan luaran dan spesifikasinya lebih baik dengan beberapa ciri yang dinaik taraf daripada model Z Flip4 yang diperkenalkan tahun lalu.

Rekaan Luaran

Peranti seberat 187 gram ini secara kasarnya memiliki saiz luaran 71.9 x 165.1 x 6.9mm ketika dalam kedudukan terbuka dan 71.9 x 85.1 x 15.1mm dalam kedudukan lipat, cukup sesuai untuk disimpan dalam kocek seluar atau dalam beg dompet golongan wanita yang mahukan kelainan dalam penampilan.

Samsung masih mengekalkan beratnya seperti model terdahulu termasuk kuasa bateri yang sama tetapi pada generasi terbaharu ini menawarkan kapasiti storan lebih besar kerana pengguna masa kini khususnya mereka yang aktif di media sosial.

Galaxy Z Flip5 dihasilkan dengan mekanisme lipatan ditambah baik sebanyak 15.1mm berbanding 17.1mm (Z Flip4) bagi membolehkan lipatan yang lebih kemas tanpa kelihatan ruang sekali gus membuatkan peranti menjadi lebih nipis pada kedudukan tertutup.

Apa yang menarik ialah skrin luaran ini menggunakan kaca Gorilla Glass Victus 2 yang lebih tahan lasak kepada hentakan atau calar sekali gus memberikan kelebihan sekiranya peranti ini tiba-tiba terjatuh atau terlepas daripada gengaman tangan manakala bingkainya dilapisi Armor Aluminium menjadikannya lebih kukuh jika terjatuh.

Kelebihan pada skrin luaran ini membolehkan anda mudah mengambil swafoto gambar atau video dengan lebih jelas kerana paparan skrinnya lebih besar. Amat mudah bukan!

Sekiranya anda memiliki jam pintar Galaxy Watch, paparan pada imej skrin luaran ini boleh dipadankan dengan skrin pada tangan pintar terkini dengan Wear OS ini.

Seperti peranti Z Fold 5, bahagian sisi kini lebih rata dengan bahagian engsel dikemaskini bagi membolehkan peranti mempunyai saiz fizikal lebih nipis pada kedudukan tertutup.

Inovasi Skrin

Skrin boleh-lipat peranti ini turut menyokong mod HDR10+ untuk aplikasi seperti Netflix dan YouTube. Kandungan nampak terang dan jelas ketika digunakan untuk tempoh masa yang pendek.

Menurut Samsung, peranti ini sudah menjalani ujian itensif di makmal dengan sehingga 200,000 kali dibuka dan ditutup tanpa sebarang kerosakan.

Permukaan peranti belakang dan bahagian sisinya diperbuat daripada bahan aluminium tahan lasak manakala penambahbaikan pada engsel serta bezel telah dilakukan pada Z Flip5.

Apa yang lebih penting Z Flip5 masih lagi melepasi piawaian kalis air IPX8 dan tidak perlu bimbang jika peranti ini terjatuh dalam air atau terkena hujan namun peranti ini tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis debu.

Perisian

Samsung Galaxy Z Flip5 dilengkapi cip Snapdragon 8 Gen 2, memori 8GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 3700 mAh. Pengecasan berwayar telah ditingkatkan kepada 25W manakala sistem operasi One UI 5.1.1 berasaskan Android 13.

Peranti ini beroperasi dengan lebih lancar manakala aplikasinya boleh dibuka dengan pantas tanpa perlu menunggu lama.

Ciri terdahulu seperti Flex Mode masih dikekalkan untuk membolehkan peranti ini diletakkan pada permukaan meja untuk tujuan telesidang tanpa sokongan atau kerangka khas.

Pada mod ini, peranti boleh dilipat 90 darjah dan berdiri di atas permukaan rata untuk sesi telesidang atau merakam video. Memegang Z Flip5 seperti sebuah kamera camcorder klasik juga boleh dilakukan untuk merakam video.

Speaker stereo dibekalkan lengkap dengan sokongan audio Dolby Atmos. Kekisi audio di bahagian bawah dipadankan dengan speaker lebih kecil di gagang telinga.

Ciri Kamera

Kamera utama pada bahagian belakang adalah kombinasi 12+12 MP f/1.8+f/2.2 (sudut lebar dan ultra sudut lebar) dan kamera swafoto pula sebesar 10 MP f/2.4. Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar f/1.8 dan lensa ultra sudut lebar f/2.2 dengan dilengkapi sistem OIS.

Dari segi spesifikasi, tiada perubahan dilakukan pada spesifikasi kamera dan RAM berbanding Z Flip4 5G tahun lalu manakala zum secara digital sehingga 10X.

Namun apa yang menarik pada ciri baharu peranti ini ialah skrin luar Flex Window yang boleh digunakan dalam pelbagai fungsi.

Ciri Kelebihan

Galaxy, Z Flip5 masih kekal dilengkapi dengan ciri IPX8  menjadikannya kalis air, jadi pengguna tidak perlu lagi bimbang jika peranti ini basah ataupun peranti ini terjatuh dalam air.

Kedua-dua peranti ini juga dibina menggunakan bahan Armor Aluminium baharu iaitu aluminium terkuat yang pernah digunakan pada telefon pintar Galaxy—berserta Gorilla Glass Victus™ 2 yang paling utuh untuk melindunginya daripada calar dan jika ia terjatuh tanpa sengaja.

Di Malaysia harga jualan Samsung Galaxy Z Flip5 ialah seperti di bawah dan ditawarkan dalam warna Mint, Lavender, Cream dan Graphite bermula 18 Ogos 2023. Warna Gray, Blue, Green dan Yellow pula hanya ditawarkan eksklusif menerusi kedai atas talian Samsung Malaysia.

  • Samsung Galaxy Z Flip5 (256GB) – RM4,499
  • Samsung Galaxy Z Flip5 (512GB) – RM4,999

* Nantikan ulasan penuh Samsung Galaxy Z Flip5 ini.