Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) melancarkan perkhidmatan pembayaran zakat digital secara automatik pertama seumpamanya untuk akaun deposit dan akaun pelaburan patuh Syariah.
Perkhidmatan yang dikenali sebagai “Auto Debit untuk Zakat Simpanan & Pelaburan” kini
boleh didapati melalui platform digital Kumpulan Maybank, iaitu aplikasi MAE dan laman
web Maybank2u, menyediakan perkhidmatan yang mudah dan lancar kepada pelanggan
untuk menunaikan kewajipan zakat mereka.
Sehingga kini, lebih 4 juta pelanggan Maybank Islamic boleh merasai kemudahan baharu ini. Dengan perkhidmatan baharu ini, pelanggan boleh menyatukan semua pembayaran zakat mereka untuk akaun simpanan dan pelaburan ke dalam satu penyata.
Amaun zakat kemudiannya akan dikira secara automatik dan ditolak atas persetujuan pemegang akaun menerusi akaun pelanggan tanpa sebarang caj tambahan.
“Ciri baharu yang ditawarkan ini sejajar dengan komitmen Kumpulan Maybank untuk
meningkatkan pengalaman pelanggan melangkaui perbankan tradisional melalui pendigitalan dan kemajuan teknologi. Kami berhasrat untuk memberi perkhidmatan ini
kepada lebih 4 juta pelanggan kami serta orang ramai yang ingin menunaikan kewajipan
zakat mereka tetapi masih belum mempunyai akaun Maybank Islamic,” kata Ketua Pegawai
Eksekutif Maybank Islamic, Dato’ Mohamed Rafique Merican.
Perkhidmatan Auto Debit untuk Zakat Simpanan & Pelaburan kini tersedia untuk semua akaun simpanan dan semasa Maybank Islamic, termasuk daily fund-i, term deposit dan term fund-i.
Pada masa ini, pelanggan boleh membuat pembayaran zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan ciri ini akan diperluaskan ke badan zakat lain dalam masa terdekat.
Perkhidmatan juga ini akan menentukan sama ada jumlah baki dalam akaun yang mengambil bahagian memenuhi keperluan nisab minimum (jumlah minimum yang perlu dimiliki oleh seorang Muslim sebelum diwajibkan membayar zakat).