Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini memperkenalkan Pakej Jaminan Volkswagen (Volkswagen Assurance Package, VAP) dalam usaha untuk menawarkan
perlindungan dan fleksibiliti yang diperlukan oleh para pemilik kenderaannya.

VAP ditawarkan ke atas semua model dilengkapi ciri IQ.DRIVE yang kini melibatkan model Golf GTI baharu dan Arteon R-Line 4MOTION yang telah dinaik taraf.

VAP memberikan para pemilik dengan tambahan jaminan tanpa had perbatuan dan penyelenggaraan selama tiga tahun. Jadi, pelanggan kini boleh menikmati penjimatan jangka masa panjang dengan program jaminan lanjutan tersebut.

Bergantung kepada model terpilih, VAP bernilai RM8,000 hingga RM10,000. Pelanggan yang tidak mahu mengambil pakej jaminan ini akan menerima jaminan tanpa had
perbatuan untuk 2 tahun dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.

Pengarah Urusan VPCM, Denyu Bostandzhiev menyatakan bahawa para pemilik pastinya mahukan satu nilai tambah apabila membeli kereta Volkswagen. Dengan adanya VAP, ia akan memastikan pelanggan mendapat pengalaman pemilikan yang menyenangkan.

“Kami kekal komited untuk menawarkan pelanggan dengan produk terbaik yang boleh memenuhi keperluan mereka. Dengan VAP, pelanggan tidak lagi perlu rasa bimbang.

“Bukan itu sahaja, pasukan juruteknik berpengalaman kami akan memastikan kenderaan pelanggan diperiksa dengan terperinci. Jika ada alat ganti yang perlu diganti, ia akan diganti. Harus tahu juga bahawa kami hanya menggunakan alat ganti tulen bagi memastikan ketahanan dan prestasi terbaik kenderaan,” kata Denyu.