TV AlHijrah telah diiktiraf sebagai penerima anugerah khas bagi kategori Program Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik oleh Media Home pada majlis Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA2023).
Hadir menerima penganugerahan itu, Suffian Yahya, selaku Pengurus Besar Kejuruteraan dan Sokongan Penyiaran TV AlHijrah mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah,
Namanzee Harris.
Majlis anugerah MBBA2023 yang diadakan pada 24 Jun 2023 yang lalu menyaksikan
pengiktirafan itu dianugerahkan kepada stesen TV AlHijrah di atas bantuan kemanusiaan dan program kemasyarakatan yang disumbangkan oleh stesen penyiar Islam itu kepada masyarakat di negara ini, menerusi jenama Hijrah Prihatin.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris menyifatkan kemenangan itu
sebagai penghargaan kepada TV AlHijrah di atas sekelumit usaha membantu masyarakat yang kurang bernasib baik di negara ini menerusi siri bantuan yang dirancang sepanjang tahun.
“Hijrah Prihatin beriltizam untuk menjadi tulang belakang masyarakat yang memerlukan
bantuan. Kami bukan sahaja memberikan sumbangan kewangan dan barangan keperluan seharian, malahan sokongan emosi turut diberikan menerusi barisan asatizah yang kami bawa setiap kali turun membuat CSR.
“Semenjak tahun 2020 lagi, kami berusaha memperkasakan jenama Hijrah Prihatin sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kami kepada masyarakat Malaysia. Jiwa kami besar untuk tahun-tahun mendatang, bagi menyemarakkan lagi budaya tanggungjawab sosial korporat di kalangan masyarakat Malaysia MADANI.
Namanzee Harris berkata penganugerahan itu juga adalah buah tangan buat rakan sinergi korporat stesen itu yang sentiasa tampil menghulurkan jalinan kerjasama terutamanya yang membabitkan kumpulan B40, asnaf, muallaf dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Selain itu, Namanzee turut berkata tahun 2023 bakal menyaksikan lebih banyak program berimpak tinggi yang akan dihasilkan TV AlHijrah bagi memenuhi aspirasi penyiaran negara dan selera penonton yang dahagakan program ilmiah yang mendidik dan menghiburkan selari dengan ajaran agama, perkembangan zaman, batasan budaya dan norma masyarakat majmuk di Malaysia.







































