Perodua meneruskan komitmennya terhadap pemuliharaan alam semula jadi dengan menganjurkan Program Penanaman Pokok Perodua di Taman Alam Kuala Selangor di Kuala Selangor baru-baru ini.

Program tanggungjawab sosial korporat ini adalah kesinambungan daripada Inisiatif Pucuk Hijau UMW (UGS) yang diperkenalkan pada suku keempat 2021, dengan sasaran untuk menanam sebanyak 300,000 pokok menjelang akhir 2023.

Sejak pelancaran inisiatif berkenaan sehingga kini, kira-kira 174,000 pokok telah ditanam dan baki 133,000 pokok lagi dijangka akan ditanam menjelang akhir tahun ini.

“Pokok bakau adalah bahagian penting di dalam ekosistem Malaysia kerana ia membantu melindungi tebing sungai daripada risiko alam sekitar, terutamanya daripada banjir dan tsunami.

“Selain itu, pokok bakau melindungi kualiti air dengan menyingkirkan nutrien dan bahan pencemar daripada aliran air ribut sebelum sampai ke habitat rumput laut dan terumbu karang. Ia juga menjadi tempat habitat buat ikan-ikan komersial dan kerang-kerangan, sekali gus menyumbang kepada limpahan makanan laut tempatan.

“Memandangkan banyak manfaat yang ada pada pokok bakau, Perodua memutuskan untuk bekerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia bagi aktiviti penanaman pokok sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Beliau menambah Perodua kini sedang melaksanakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan program seumpama ini adalah penting kerana ia mencerminkan komitmen syarikat ke arah mencapai matlamat itu.

“Acara penanaman pokok ini juga berkaitan dengan salah satu matlamat SDG iaitu matlamat nombor 15, Hidupan Atas Darat. Objektifnya adalah untuk mencegah
kehilangan biodiversiti, menghentikan degradasi tanah, menghentikan penggurunan,
melindungi, memulih, dan menggalakkan penggunaan mampan ekosistem darat
serta mengurus hutan secara mampan.

“Justeru, aktiviti penanaman pokok anjuran Perodua ini dapat membantu menyebarkan lebih banyak kesedaran untuk memulihara bumi,” katanya.

Kira-kira 120 sukarelawan Perodua terlibat di dalam program yang berlangsung selama sehari itu. Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Cik Noor Zakiyah Hasan dan Pengurus Besar Divisyen Perhubungan dan Komunikasi Korporat, Puan Sulasi Haji Mahadi.