Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung UMT dan wakil YPJM Negeri Terengganu, Dato Dr Mustapha Ahmad Marican mengadakan perjumpaan dengan Ketua Polis Negeri Terengganu DCP Datuk Mazli Mazlan di pejabatnya, baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, antara isu yang dibincangkan termasuk berkaitan aktiviti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) khususnya YPJM Negeri bagi memperkasakan aktiviti dan membuat kesedaran untuk pelajar, belia serta graduan.

Dr Mustapha berkata, aktiviti juga turut menumpukan kepada golongan belia yang terbabit dengan gejala merempit, terlibat dengan gejala dadah serta aktiviti yang tidak sihat.

“Kita harus meningkatkan tahap kesedaran mereka yang terbabit supaya kadar jenayah dapat dikurangkan malah pihak polis negeri Terengganu juga mengharapkan kerjasama semua pihak bagi menjayakan hasrat murni menerusi pelbagai program termasuk program ‘Townhall’,” katanya.

Beliau berkata, YPJM akan sentiasa menyokong usaha usaha pencegahan jenayah dengan mengadakan kerjasama erat bersama PDRM bagi menjalankan aktiviti dari semasa ke semasa khususnya melibatkan kesedaran pada semua peringkat dengan sasaran utama di kalangan belia-belia di Negeri Terengganu.