Perniagaan keluarga dan diuruskan sepenuhnya sendiri, CzipLee telah wujud lebih 50 tahun lamanya sejak tahun 1968.

Bermula sebagai sebuah kedai runcit kecil di Kajang, Selangor, CzipLee pada peringkat permulaannya menjual pelbagai jenis barangan harian termasuk gula-gula, surat khabar dan sedikit sebanyak alat tulis.

Berbekalkan semangat dan perkhidmatan mesra CzipLee serta sokongan komuniti, perniagaan alat tulis tempatan ini berkembang – dari kedai kecil pertamanya di Kajang kepada kedai empat tingkat dengan keluasan lebih daripada 10,000 kaki persegi.

Sebagai pengedar barangan alat tulis, perniagaan CzipLee juga kekal mapan dengan
keupayaan mereka menawarkan pelanggan pelbagai jenis buku dan alat tulis, termasuk alat tulis berjenama yang berkualiti tinggi, peralatan melukis, perkhidmatan mencetak, serta produk gaya hidup.

Kini, pelanggan boleh semak imbas inventori CzipLee yang melebihi 70,000 jenis produk di mana-mana kedai mereka di Lembah Klang dan Johor.

Adik beradik (Alvin dan Jason Chen) di kedai buku CzipLee Kajang pada tahun 1986.

“Kami terpaksa membuat keputusan untuk melepaskan kedai dua tingkat lot sudut yang
merupakan mercu tanda kami di Bangsar. Ia bukanlah keputusan yang mudah untuk dibuat
namun satu langkah strategik kerana CzipLee perlu menambah baik nisbah hutang dengan
ekuiti untuk terus melangkah ke hadapan.

“Kami juga amat berterima kasih atas sokongan yang diterima daripada keluarga, rakan sekerja dan komuniti kami dalam meneruskan perjalanan kami dalam memenuhi keperluan pelanggan kami.” kata Alvin Chen, Pengarah Eksekutif CzipLee.

Selepas pandemik reda, jualan tidak lagi setinggi seperti waktu sebelum pandemik dan corak pelanggan juga berubah. Kini ramai orang membeli di kedai rantaian untuk alat tulis buatan tempatan, ditambah pula dengan kesukaran mencari tempat letak kereta di Bangsar, maka amat penting bagi CzipLee untuk memperbaharui strateginya demi memastikan perniagaannya dapat bertahan.

CzipLee merancang untuk berkembang dengan lebih pesat lagi pada suku keempat tahun 2023 bagi memenuhi permintaan dan keperluan pelanggan. CzipLee bakal memenuhi kehendak pelanggan menerusi pengalaman CzipPetit yang lebih menyeluruh di Bangsar Village 2.

Dengan keluasan lebih tiga kali ganda berbanding sekarang, para pelanggan akan dapat
menikmati kedai konsep yang serba lengkap yang menawarkan pilihan jenama dan produk
yang pelbagai.