Kumpulan 2by2 yang pernah popular dengan lagu Mawarku berduet bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza pada tahun 1996 kini masih lagi menyimpan hasrat untuk bergandingan kembali.

“Besar harapan kami jika diberi peluang untuk berduet kembali dengan Tokti membuat persembahan lagu Mawarku.

“Kami juga berhasrat jika diberi peluang berduet lagu baru, kami terima dengan besar hati namun terpulang pada beliau memandangkan Tokti juga sibuk dengan jadualnya yang padat” kata Zul, vokalis 2by2.

Bukan sahaja Tokti, 2by2 juga berhasrat dapat bergandingan semula dengan beberapa penyanyi wanita yang pernah berduet dengan mereka sebelum ini antaranya; Liza Hanim, Mazleela, Anis Suraya dan Noraniza Idris.

Ditemui pada majlis perasmian Dangau 2by2 Food Station yang diusahakan yang terletak di Kampung Melayu Subang, Kota Damansara, medan selera berkonsepkan santai ala kampung ini sesuai dijadikan lokasi lepak dan makan untuk sesiapa sahaja.

Zul, 51, atau nama sebenarnya Zulkifli Majid berkata, Dangau dibuka adalah sebagai usaha menjana pendapatan sampingan selain masih aktif dalam bidang seni.

“Kumpulan 2by2 tidak pernah berpecah dari dulu cuma kekangan masa disebabkan setiap anggota kumpulan mempunyai tanggungjawab dan komitmen kerja yang lain membataskan mereka untuk bersama membuat persembahan.

“Macam saya sendiri masih aktif dalam dunia seni tetapi lebih ke arah penjurian program nyanyian di Malaysia dan Indonesia, jadi tercetusnya idea untuk membuka food court ini setelah diajak oleh Faizal untuk berniaga dan saya rasa ini satu cadangan yang baik untuk menjana lebih pendapatan sampingan.

“Kami buka Dangau food station ini dengan hasil usaha dan kewangan sendiri, jadi ia memakan masa kerana kami lakukan sedikit demi sedikit secara berperingkat sehingga berjaya dibuka pada bulan Ramadan yang lalu.

“Dangau 2by2 Food Station ini juga turut membuka platform kepada muka-muka baru untuk mencungkil bakat nyanyian dalam pertandingan karaoke dan akan diketengahkan menjadi artis rakaman” tambahnya lagi.

Dangau 2by2 Food Station dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Shatiri Mansor dan dibuka setiap hari bermula jam 11.30 pagi hingga 12 malam.

Ditanya mengenai soal zuriat selepas 4 tahun mendirikan rumah tangga bersama Intan Maya, anggota kumpulan The Girls, beliau berkata menerima sahaja apa yang telah diatur tuhan dan berharap para peminat medoakan rezeki itu.

“Kami tidak pernah merancang, jika boleh hari ini juga saya nak rezeki zuriat namun semuanya berbalik pada ketentuan Allah swt.

“Maya pernah keguguran 2 kali, jadi saya tidak mahu memberi tekanan kepada beliau, saya harap para peminat dapat mendoakan kami, InsyaAllah” ujarnya.