Oleh Adam Salleh

Teater Cikgu Anda cuba membawa penonton mengulit pahit dan getirnya segelintir pelajar di Yayasan Anda Akademik (YAA) untuk meneruskan pelajaran di sebalik kepayahan.

Watak Adibah, Faridah dan pelajar miskin Nazri adalah warna warni remaja tatkala itu yang separa kecundang di peringkat awal dalam peperiksaan tetapi bangkit dengan semangat baru hasil suntikan YAA.

Umpamanya Nazri yang datang dari kampung ke ibu kota sesudah kecewa dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun tidak lelah memperbaiki dirinya demi mengejar segulung ijazah.

Penerbit teater, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim yang juga Pengerusi Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) menyifatkan watak Nazri adalah contoh terbaik haruslah diteladani remaja masa kini supaya kental dan bersemangat waja dalam menggapai cita-cita.

“Hidup sebatang kara di Kuala Lumpur bukan mudah bagi remaja seperti Nazri ketika itu kerana kos kehidupan dan kos pembelajaran terpaksa ditanggung sendiri.

“Berbekalkan tekad dan nekad Nazri bekerja di kedai makan pada siang hari dan pada malam hari dia belajar di YAA.

“Sasarannya untuk lulus cemerlang dalam STP (Sijil Tinggi Pelajaran). Dengan bantuan pengasas YAA juga cikgu bernama Anwar Ibrahim, Nazri diterima sebagai pelajar dan berjaya memburu cita-citanya cemerlang dalam STP seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dan kini menjadi tokoh disegani,” katanya.

Teater Cikgu Anda PAYAAM dengan kerjasama Persatuan Melodi Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) dan Grand Barakah Hotel akan dipentaskan pada 9 dan 10 Jun ini di Grand Barakah Hotel pada jam 8.30 malam.

Persembahan pada 9 Jun khusus untuk pelajar sekolah sekitar Ampang dan jemputan khas YB Rodziah Ismail, manakala persembahan pada 10 Jun untuk tetamu khas sahaja akan dihadiri Perdana Menteri Ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penaung PAYAAM.

Cikgu Anda cetusan idea Suhaimi sendiri berdasarkan skrip Anwar Idris diarahkan Amran Nasrudin juga Presiden PEMEKAR. Barisan pelakon ialah Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Hairi Safwan, Che Mat Raja Lawak, Najua Nasir P.Ramlee, Sarah Fazny, Mubarak Majod, Abon dan Iera Sabariah.

Insan Akademi Yang Bertaqwa yang diperjuangkan YAA bagi Suhaimi nyata membawa berkah apabila institusi pengajian swasta bercirikan islamik itu kini melahirkan pelbagai tokoh penting dalam negara sama ada politik dan korporat.

Anwar Ibrahim ketika menjadi cikgu di YAA

“Ramai tokoh besar bila diselusuri sejarah silam mereka terkait YAA. Malah wartawan terkenal seperti Juwie (Jalil Salleh) dan Datuk Hafifi Hafidz pernah menduduki STP di YAA,” katanya.

Pelancaran teater Cikgu Anda disempurnakan Senator Datuk Seri Prof. Dr Awang Sariyan pada 1 Jun lalu di lokasi sama. Sejajar judul teater Cikgu Anda, pengorbanan guru-guru yang pernah memerah keringat di YAA sejak awal 70-an tidak dapat dibalas dengan wang ringgit.

cikgu Rohizad (dua dari kiri) bersama rakan ketika mengajar di YAA

Berkongsi momen cikgu Rohizad Mustapa sempat bergandingan dengan Anwar Ibrahim sewaktu mengajar pada 1982 hanya dibayar gaji RM250 sebulan.

Rohizad juga Timbalan Pengarah Pementasan Teater Cikgu Anda berkata, selepas dua tahun mengajar pagi dan petang tidak seperti sekolah kerajaan cuma satu sesi sahaja, barulah gaji beliau dinaikkan RM50 bermakna RM250 sebulan.

“Kos kehidupan ketika itu kian meningkat. Sebagai anak muda hidup di kota, saya turut terkesan lalu saya berjumpa pengetua minta dinaikkan gaji tapi dibalas ini perjuangan sheikh,” katanya sambil ketawa.